Berita Harian

Ekonomi dunia dijangka menguncup lebih teruk

IMF hargai usaha tangani impak pandemik, unjur pemulihan separa 2021

- Oleh Mahanum Abdul Aziz mahanum_aziz@bh.com.my

Tabung Kewangan Antarabang­sa (IMF) menjangkak­an ekonomi global menguncup lebih teruk daripada yang diunjurkan tahun ini, sebelum kembali pulih pada 2021.

Pengarah Urusannya, Kristalina Georgieva, berkata pada April, IMF mengunjurk­an output global menguncup sebanyak 3.0 peratus tahun ini dan bersandark­an kepada perangkaan terkini, ia memberi petunjuk penguncupa­n yang lebih buruk daripada itu.

Katanya, krisis COVID-19 adalah tragedi manusia yang paling besar dan kompleks, lebih tidak menentu malah lebih parah daripada apa yang pernah dilihat sebelum ini.

“Kita akan mengakhiri 2020 dengan ekonomi yang lebih kecil berbanding pada awal tahun. 170 negara, hampir 90 peratus dunia akan terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada acara Pertubuhan Bangsabang­sa Bersatu (PBB) mengenai pembiayaan untuk pembanguna­n dalam era COVID-19.

Namun begitu, Georgieva berkata, IMF menjangkak­an pemulihan separa pada 2021 dan sangat menghargai tindakan tegas yang diambil pembuat dasar di seluruh dunia untuk menstabilk­an ekonomi.

Beliau berkata, IMF menyokong sokongan fiskal berterusan, terutama untuk pekerja dan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mengekang impak krisis dan menyokong pemulihan.

Katanya, pada peringkat global, tindakan fiskal setakat ini berjumlah kira-kira AS$9 trilion (RM39 trilion) dan usaha ketara berterusan seterusnya amat diperlukan dalam bulan-bulan mendatang.

Mengenai impak krisis yang dicetuskan COVID-19 terhadap kedudukan kewangan pasaran baharu muncul dan ekonomi sedang membangun, Georgieva berkata, dalam hanya dua bulan, pelabur menarik keluar lebih AS$100 bilion (RM435 bilion) daripada pasaran baharu muncul, lebih tiga kali ganda besar berbanding krisis kewangan global.

Beliau berkata, peningkata­n kecairan besar-besaran oleh bank pusat utama dan penyediaan talian pertukaran untuk beberapa ekonomi baharu muncul membantu membalikka­n aliran itu.

Katanya, ekonomi baharu muncul dengan asas yang kukuh mendapat manfaat dan banyak yang kembali ke dalam pasaran antarabang­sa.

“Pada April dan Mei setakat ini, pasaran baharu muncul menjana AS$77 bilion (RM335 bilion) daripada terbitan hutang baharu.

“Negara dengan asas yang lebih lemah, terutama negara dengan paras hutang tinggi, kebergantu­ngan kepada sektor yang dilanda masalah, atau terjejas oleh konflik, akan menderita manakala akses pasaran kekal sukar atau mustahil,” katanya.

 ??  ?? Kristalina Georgieva
Kristalina Georgieva

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia