Berita Harian

ST buka bidaan loji kuasa solar skala besar

-

Suruhanjay­a Tenaga (ST) mengadakan proses bidaan kompetitif bagi pembanguna­n loji jana kuasa solar PV berskala besar (LSS) di Semenanjun­g.

Loji itu adalah dengan sasaran kapasiti 1,000Mwac di bawah Program LSS@MENTARI yang membabitka­n anggaran nilai RM4 bilion bagi keseluruha­n projek.

Badan pengawal selia tenaga itu berkata, terdapat dua pakej ditawarkan iaitu pakej pertama dengan jumlah kuota yang ditawarkan sebanyak 500Mwac, yang mana julat kapasiti yang ditawarkan ialah di antara 10Mwac hingga kurang daripada 30Mwac.

Pakej kedua pula, jelasnya, membabitka­n jumlah kuota sebanyak 500Mwac dengan julat kapasiti yang ditawarkan ialah di antara 30Mwac hingga 50Mwac.

“Ini adalah langkah kerajaan untuk memulihkan dan merangsang ekonomi berikutan penularan wabak COVID-19 yang menjejaska­n ekonomi negara.

“Ia juga bertujuan merancakka­n pembanguna­n industri pembekalan elektrik negara khususnya industri tenaga boleh baharu (TBB),” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam.

Justeru, ST mempelawa syarikat atau konsortium yang mempunyai pengalaman dalam melaksanak­an projek berkaitan penjanaan tenaga, termasuk pembiayaan projek dan pengoperas­ian loji jana kuasa atau pepasangan elektrik, untuk mengambil bahagian dalam proses pembidaan mengikut kriteria yang ditetapkan dalam dokumen Request for Proposal (RFP).

Ia berkata, selaras dengan hasrat untuk memastikan pelaburan dalam bidang TBB memberi manfaat kepada rakyat tempatan serta memberikan kesan limpahan serta-merta kepada ekonomi negara, kerajaan menetapkan supaya penyertaan hanya dibuka kepada syarikat yang diperbadan­kan di Malaysia di bawah Akta Syarikat, 2016 [Akta 777].

“Syarikat berkenaan hendaklah mempunyai 100 peratus pegangan saham tempatan, kecuali bagi syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia yang hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya 75 peratus pegangan saham tempatan,” katanya.

Dokumen RFP akan mula dijual dari 31 Mei 2020 sehingga jam 5.00 petang pada 12 Jun 2020 secara dalam talian saja sebagai langkah mengelakka­n penularan wabak COVID-19 melalui laman sesawang ST (www.st.gov. my) dengan bayaran sebanyak RM2,000 bagi setiap dokumen.

Tarikh tutup penyerahan RFP yang lengkap adalah sebelum jam 5 petang pada 2 September 2020.

Penyerahan dokumen RFP secara fizikal yang lengkap hendaklah diterima oleh ST sebelum tarikh dan masa yang telah ditetapkan dan sebarang perubahan kepada kaedah penyerahan akan dimaklumka­n melalui laman sesawang ST.

ST memulakan proses bidaan kompetitif untuk pembanguna­n LSS pada 2016, yang mana sehingga kini sebanyak 57 syarikat atau konsortium telah terpilih bagi membangunk­an loji jana kuasa berkapasit­i sekitar 1,384.21 megawatt di Semenanjun­g, Sabah dan Wilayah Persekutua­n Labuan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia