Berita Harian

Eropah terus longgar perintah berkurung

Korea Selatan, Sri Lanka laksana sekatan semula selepas muncul jangkitan baharu

-

Paris: Beberapa negara Eropah termasuk Perancis dan Britain mula melonggark­an perintah berkurung akibat COVID-19, manakala kebanyakan negara Asia mula melaksanak­an sekatan baharu.

Sebahagian besar negara kini sedang mencari jalan untuk melangkah ke hadapan dalam menghadapi ancaman virus itu di beberapa tempat, namun Eropah dilihat mula keluar daripada pengasinga­n.

Perancis dijangka mula membuka bar, restoran dan muzium bermula minggu hadapan, manakala sekolah dan kedai di Britain akan mula dibuka.

Bagi dunia sukan, Liga Perdana Inggeris dan Serie A Itali merancang meneruskan permainan sekitar pertengaha­n Jun ini.

Kedua-dua liga akan bermain tanpa penyokong, tetapi Russia membenarka­n kehadiran penonton dalam jumlah terhad untuk mengikuti perlawanan yang akan bermula bulan hadapan.

Sementara itu, angka kematian di seluruh dunia meningkat kepada 361,998 orang, manakala lebih 5.9 juta penduduk disahkan dijangkiti virus yang muncul di China pada akhir tahun lalu.

Di Asia, sekatan dikenakan semula di Korea Selatan dan Sri Lanka selepas kemunculan jangkitan baharu yang menimbulka­n ketakutan mencetuska­n penularan gelombang kedua.

Keadaan di Amerika Latin bertambah suram dengan 26,000 kematian dengan Brazil dan Chile merekodkan angka kematian tertinggi harian.

Di Perancis, penduduk mula menikmati pembukaan semula kedai dan restoran bermula 2 Jun ini.

Penduduk negara itu juga dibenarkan melakukan perjalanan lebih 100 kilometer dari tempat kediaman, sempena cuti musim panas.

Perancis sebelum ini merekodkan 28,662 kematian akibat COVID-19 iaitu yang keempat tertinggi di dunia.

Di Amerika Syarikat (AS), lebih 103,000 pendudukny­a maut akibat COVID-19, manakala jangkitan melebihi 1.76 juta.

Presiden AS, Donald Trump, menerusi ciapan Twitter beliau, berkata: “Kepada semua keluarga dan teman yang kehilangan orang tersayang akibat COVID, saya menzahirka­n rasa simpati. Tuhan bersama anda!”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia