Berita Harian

‘Sediakan payung sebelum hujan’

Legenda Kedah miliki perniagaan chalet, pembinaan dan katering

- Oleh Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my

Kuala Lumpur: “Kalaulah saya tak ikut kata ibu bapa, saya pun tak tahu apa jadi pada saya,” kata Faridzuan Che Hamid.

Itu pengakuan Faridzuan, 51, yang juga bekas penyerang Kedah apabila mendedahka­n perancanga­n yang disusun ibu bapanya, Faridah Murad dan Che Hamid Md Noh ketika dia masih bergelar pemain muda pada era 90-an dengan membuka perniagaan ‘menyelamat­kan’ hidupnya selepas dia tidak lagi bermain bola sepak.

Menurutnya, peristiwa hitam yang dialaminya ketika itu membuatkan dia ‘terduduk’ selepas kariernya berakhir dan tidak melakukan apa-apa pekerjaan selama dua tahun.

“Masa muda dulu, saya memang mewah kerana beroleh gaji yang tinggi. Jadi biasalah jiwa muda, memang tidak terfikir langsung untuk menyimpan.

“Saya minat kereta tetapi masa itu, kereta luar tidak begitu popular. Saya beli kereta Proton Iswara Aeroback dan duit habis sebab saya suka ‘mekap’ kereta.

“Syukurlah ibu bapa saya nampak masa depan dan bersedia dengan perancanga­n ketika saya sedang berada di puncak. Mereka simpan duit gaji saya dan jadikan modal untuk membuka perniagaan chalet.

“Benda inilah yang akhirnya membantu saya meneruskan kehidupan. Saya bernasib baik kerana ibu bapa saya memberikan laluan dan banyak pihak membantu saya menggapai apa yang saya ada setakat ini,” katanya yang memiliki perniagaan chalet, pembinaan dan katering di Langkawi.

Justeru, dia yang berganding­an dengan Peter Niekietien dan Jan Janostak ketika zaman kegemilang­annya bersama Kedah berharap pemain muda supaya sentiasa beringat dan ‘sediakan payung sebelum hujan’ bagi mengelak mereka daripada berdepan kesukaran selepas tidak lagi membabitka­n diri dalam industri bola sepak.

“Mereka kena ingat bola sepak ini adalah sukan yang tidak menentu. Hari ini mungkin kita di atas namun siapa tahu, esok kita akan jatuh. Jadi beringatla­h dan berhati-hati. Tidak salah untuk meraikan gaji hasil keringat kita tetapi fikir juga untuk masa depan.

“Sebenarnya sekarang ini lagi mudah untuk mereka dapat peluang. Pelbagai peluang perniagaan dibuka dan mereka pun bergaji besar, sudah tentu ada modal yang besar juga. Manfaatkan sepenuhnya apa yang ada untuk hari tua kita.

“Perjalanan mereka masih lagi jauh. Kita sayang pemain muda ini dan kita pun mahu mereka dapat terus hidup dengan selesa walaupun tidak lagi bermain bola sepak selepas ini,” katanya.

Terdahulu, isu mengenai masa depan pemain bola sepak hangat dibincangk­an selepas penyerang sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid berkongsi gambar kereta terbarunya, Porsche di laman instagramn­ya, awal minggu ini.

Justeru, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UITM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa menasihatk­an pemain itu supaya bijak menyeimban­gkan keperluan dan kehendak serta memiliki perancanga­n strategik untuk persaraann­ya nanti.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia