Berita Harian

Rantaian COVID-19 hampir putus

Penyusutan kes positif buktikan langkah kerajaan cegah penularan wabak berkesan

- Oleh Luqman Arif Abdul Karim dan Noor Atiqah Sulaiman bhnews@bh.com.my

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yakin Malaysia hampir berjaya memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 dan kini dalam fasa pemulihan terakhir. Keyakinan itu berdasarka­n kes positif semakin susut, tiada kematian lapan hari berturut-turut, 95 peratus saringan negatif dan kadar kebolehjan­gkitan kini hanya 0.3 peratus.

Putrajaya: Malaysia hampir berjaya memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 yang mula dikesan di negara ini pada Januari lalu dan kini dalam fasa pemulihan terakhir susulan kejayaan pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata keyakinan itu berdasarka­n jumlah kes positif yang semakin menyusut, selain tiada kematian direkodkan untuk hari kelapan berturut-turut.

“Saringan yang kita jalankan juga mendapati hampir 95 peratus keputusan adalah negatif, manakala positif tidak ramai berbanding dulu.

“Setakat ini, penggunaan katil di hospital kurang 15 peratus dan hanya sembilan pesakit ditempatka­n di Unit Rawatan Rapi (ICU). Malah, daripada 1,090 alat bantuan pernafasan yang kita ada, hanya dua pesakit memerlukan mesin berkenaan, jadi ini antara petanda baik.

“Ia tampak seperti kita hampir boleh putuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini, mungkin kita hanya perlukan sedikit masa saja lagi,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, keupayaan Kementeria­n Kesihatan (KKM) menjalanka­n pengesanan awal terhadap individu yang mungkin terdedah kepada jangkitan COVID-19 antara pendorong kejayaan memerangi wabak itu.

Sementara itu, dalam temu bual eksklusif bersama BERNAMA ,Dr Noor Hisham berkata, pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula pada 4 Mei lalu turut berjaya menurunkan nilai kebolehjan­gkitan atau R0 (R-naught) sehingga 0.3 berbanding 0.6 ketika pelaksanaa­n PKP.

“Jadi dalam kita melihat (kes COVID-19 di Malaysia) kita ada permodelan, kita lihat model yang kita gunakan. Waktu sebelum PKP, kita lihat kita punya kebolehjan­gkitan, R0 itu ialah 3.55, bermakna seseorang itu boleh menjangkit­i 3.55 orang dan apabila kita laksanakan PKP, kita dapat kurangkan R0 sehingga 0.6 dan sekarang (semasa PKPB) R0 kita hanya 0.3.

“Ini bererti seseorang yang dijangkiti hanya boleh menjangkit­i 0.3 orang, jadi ia semakin berkurang dan untuk melihat kepada kes yang akan datang, model ini berjalan dengan baik. Sekarang ini, kita di peringkat pemulihan yang terakhir,” katanya.

R0 merujuk nilai kebolehjan­gkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh kes yang berlaku.

Dalam kaedah permodelan dan ramalan untuk sesuatu wabak, menurunkan nilai R0 kurang daripada angka 1 secara berterusan akan membantu mengakhiri sesuatu wabak.

Dr Noor Hisham berkata, KKM akan terus memantau situasi semasa negara sepanjang PKPB yang dikuatkuas­akan sehingga 9 Jun depan.

“Sekiranya kes baharu boleh dicapai dalam satu angka untuk tempoh melebihi seminggu, berkemungk­inan sektor ekonomi akan dibuka 100 peratus, selain sektor sosial dan pendidikan,” katanya.

Beliau turut berkongsi data sejak 4 Mei hingga 29 Mei lalu, hampir sebulan PKPB dikuat kuasakan

Ia tampak seperti kita hampir boleh putuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini, mungkin kita hanya perlukan sedikit masa saja lagi.

Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan

menunjukka­n hanya kira-kira 200 kes membabitka­n rakyat Malaysia daripada 1,800 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan di negara ini.

“Ini bermakna PKPB berjaya, PKP pun berjaya melandaika­n lengkungan. Rakyat patuh kepada SOP. Kejayaan ini bukan sebab KKM dan kerajaan, tetapi ia kejayaan bersama dengan rakyat sebab rakyat Malaysia patuh kepada SOP,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, selain berdepan kenaikan kes mendadak membabitka­n pendatang asing tanpa izin (PATI) di depoh tahanan Imigresen, KKM juga menjangka kes rentas negeri semasa perayaan Aidilfitri.

Namun, beliau berkata, ia mungkin tidak akan tercetus pada kadar yang tinggi dan masih boleh dikawal jika rakyat kekal patuh kepada SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Mungkin akan ada peningkata­n kes, tetapi tidak secara mendadak, jadi kalau rakyat patuh kepada SOP mungkin kita tak dapat gelombang ketiga, kita menunggu sekarang ini, raya dah lepas, mungkin dalam tempoh seminggu, dua minggu kita akan melihat kes (baharu) setiap hari.

“Kalau kes ini masih lagi rata iaitu dua angka dan satu angka, tempoh PKPB akan tamat pada 9 Jun. Kita akan lihat bagaimana keadaan kita nanti,” katanya.

Tiada kes kematian berkaitan COVID-19 direkodkan di Malaysia dalam tempoh lapan hari berturut-turut sejak 23 Mei lalu dengan jumlah kumulatif kes kematian kekal pada 115 kes (1.49 peratus).

Jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sehingga semalam adalah 7,762 kes.

Sebanyak 95 kes sembuh semalam, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 6,330 kes pulih atau 81.55 peratus dari jumlah keseluruha­n kes.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia