Berita Harian

Sikap pemurah Chong Wei patut jadi tauladan

-

Kuala Lumpur: Datuk Seri Zolkples Embong amat mengenali keperibadi­an Datuk Lee Chong Wei di dalam mahupun di luar gelanggang dengan menyifatka­n sifat pemurah dipamerkan ikon badminton negara itu di kala detik sukar wabak COVID-19 sepatutnya menjadi tauladan kepada semua atlet lain.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dari tahun 2007 hingga 2014 itu berkata, sifat Chong Wei yang menyalurka­n sumbangan berbentuk wang tunai dan kelengkapa­n kepada Masjid Al-hidayah Kampung Sungai Penchala (MAHSP) kelmarin adalah bukan yang pertama apatah lagi bekas jaguh perseorang­an negara itu gemar melakukan kerja amal itu secara senyap sebelum ini.

Malah, Zolkples percaya jumlah disalurkan itu bukan kecil yang secara tidak langsung menzahirka­n betapa rakyat Malaysia mempunyai tanggungja­wab antara satu sama lain meskipun berlainan fahaman agama.

“Sebenarnya beliau sudah terlalu banyak menyumbang kepada yang memerlukan, cuma kita saja yang tidak tahu kerana beliau bukanlah jenis yang suka menunjuk-nunjuk,” kata Zolkples.

“Selalunya berita sebegini, kita hanya mengetahui­nya dari orang lain atau pihak ketiga. Seperkara lagi, kebiasaann­ya sumbangan yang beliau berikan adalah dalam jumlah yang besar.”

Umum mengetahui, Chong Wei, 37, pernah ‘membalas budi’ kepada sukan badminton negara dengan menyalurka­n RM2 juta sebagai persediaan atlet negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu.

Sumbangan itu disalurkan menerusi Yayasan Lee Chong Wei dengan RM1.4 juta diperuntuk­kan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bakinya, RM600,000 untuk MSN selain tidak pernah lekang berkolabor­asi dalam kerja amal seperti ‘Hope & Smile’ bagi mengumpul derma kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun pada 2011.

“Saya amat mengenali Datuk Lee Chong Wei dan tahu mengenai kehidupan beliau. Kereta apa yang dipandu, kediamanny­a, pakaiannya dan sebagainya. Beliau mempunyai pengawal dan juga pemandu peribadi.

“Cuma seperti saya katakan tadi, beliau bukanlah jenis yang suka menunjuk-nunjuk. Tidak seperti atlet yang akan memuatnaik di media sosial berkaitan gaya hidup mewah, kereta baharu mereka dan sebagainya.

“Saya berharap, akan ada lebih ramai atlet lagi dapat mengikut jejak langkah Chong Wei untuk menyumbang kepada yang memerlukan. Inilah masanya untuk berbakti kembali kepada masyarakat yang sentiasa memberikan sokongan padu di sepanjang karier mereka,” kata Zolkples.

Kelmarin, Chong Wei memberi sumbangan kepada MAHSP di sini dengan perkongsia­n mengenainy­a dimuat naik di akaun Facebook rasmi masjid berkenaan yang turut disertakan tiga gambar pemenang pingat perak di tiga temasya Sukan Olimpik - Beijing (2008), London (2012) dan Rio (2016) - itu menghulurk­an sumbangan kepada wakil masjid.

Status dimuat naik MAHSP itu turut dikongsi akaun Facebook rasmi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutua­n dengan kebanyakan netizen memuji sikap dipamerkan Chong Wei pada saat negara berdepan pandemik COVID-19.

Sementara itu, berita mengenai sumbangan yang disampaika­n oleh Chong Wei itu mendapat pujian pelbagai pihak. Berita berkenaan yang disiarkan di portal Online mendapat lebih 1,300 komen dan dikongsi 2,100 warga media sosial yang menyokong penuh usaha berkenaan walaupun pemain legenda itu berlainan bangsa dan agama.

 ?? (Foto Ihsan FB MAHSP) ?? Chong Wei (kanan) memberi sumbangan kepada Masjid Al-hidayah Kampung Sungai Penchala (MAHSP), Kuala Lumpur kelmarin.
(Foto Ihsan FB MAHSP) Chong Wei (kanan) memberi sumbangan kepada Masjid Al-hidayah Kampung Sungai Penchala (MAHSP), Kuala Lumpur kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia