Berita Harian

Budak 8 tahun maut disengat tebuan ketika bermain dalam semak

Rintihan anak maut disengat tebuan buat bapa menangis

- Oleh Rosli Ilham bhnews@bh.com.my

Dungun: “Tolong ayah, sakit sangat ayah, kakak dah tak tahan ayah, tolonglah ayah,” itu rintihan Nur Nazihah Mohd Sabri yang membuatkan bapanya sering menangis apabila teringatka­n rayuannya itu.

Nur Nazihah yang berusia lapan tahun, murid Sekolah Rendah Kebangsaan Ketengah Jaya 2, Dungun disengat tebuan, ketika bermain di kawasan semak berhampira­n rumahnya di FELDA Kerteh 4, kira-kira jam 3 petang, Jumaat lalu.

Mangsa, anak ketiga daripada lima beradik itu gagal diselamatk­an dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, jam 1.35 pagi semalam.

Bagaimanap­un, adiknya Muhammad

Azib, 6, yang turut disengat tebuan dilaporkan stabil dan kini menerima rawatan di hospital sama.

Bapanya, Mohd Sabri Mohd Nor, 41, berkata ketika kejadian dia sedang membaiki dapur rumah ibunya di Bandar Paka manakala isterinya, Rohayu Mat Lazim, 39, tinggal di rumah bersama lima anaknya.

“Saya dimaklumka­n keduadua anak termasuk seorang kakak mereka berusia 11 tahun serta dua rakan mereka bermain di situ dalam jarak 50 meter dari rumah saya.

“Muhammad Azib yang dalam kesakitan berlari pulang memberitah­u ibunya bahawa Nazihah diserang tebuan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di FELDA Kerteh 4, semalam.

Katanya, isterinya berlari mendapatka­n anaknya itu sebelum menghubung­i dan memberitah­u terdapat banyak sengatan di badan Nazihah.

“Saya ingat itu sengatan lebah dan bila isteri memberitah­u ada beberapa kepala berwarna hitam dan besar melekat di baju Nazihah, saya tahu itu tebuan dan meminta isteri segera menghantar anak ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya.

“Saya bergegas dan sebaik sampai di Klinik Kesihatan, keadaan Nazihah masih sedar dan tidak putus-putus merengek sakit,” katanya.

Katanya, dia sungguh terkejut selepas melihat banyak kesan sengatan di dada, perut dan tangan kanan anaknya itu yang melebihi 50 sengatan.

“Saya sering menangis dan tak sanggup melihat kesakitan yang ditanggung Nazihah dan saya hanya mampu meminta Nazihah bersemanga­t kuat menahan kesakitan itu.

“Nazihah kemudian dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke HSNZ dan sepanjang Jumaat dan Sabtu Nazihah masih sedar.

“Bagaimanap­un, sejak malam tadi (kelmarin), dia semakin lesu dan tidak sedarkan diri sehinggala­h dia meninggal di depan saya,” katanya.

Mohd Sabri berkata, dia sering menasihati anak-anaknya supaya tidak bermain di kawasan semak di situ kerana sebelum itu dia pernah terjumpa satu sarang tebuan.

“Selepas lebih sebulan, saya dapati sudah tiada tebuan di dalam sarang itu dan tidak menyangka tebuan itu membuat sebuah lagi sarang di kawasan anak saya disengat,” katanya.

Katanya, anak-anaknya itu tidak pernah bermain jauh dari kawasan rumah kerana dia sering memantau dan menasihati mereka tidak bermain di kawasan berbahaya sepanjang masa.

“Apa boleh buat, saya perlu reda dengan apa yang berlaku, kerana setiap perkara yang berlaku itu sudah ditentukan Allah,” katanya.

Jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam FELDA Kerteh 4&5 kira-kira jam 11 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Paka, Mohd Rezuan Adnan, ketika dihubungi mengesahka­n menerima laporan berhubung kejadian.

 ??  ??
 ?? (Foto Rosli Ilham/bh) ?? Mohd Sabri menyiram air mawar di pusara Nur Nazihah (gambar kecil) di Tanah Perkuburan Islam FELDA Kerteh 4&5.
(Foto Rosli Ilham/bh) Mohd Sabri menyiram air mawar di pusara Nur Nazihah (gambar kecil) di Tanah Perkuburan Islam FELDA Kerteh 4&5.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia