Berita Harian

Orang bujang boleh rentas negeri dikaji

Kerajaan perhalusi langkah benarkan ziarah ibu bapa, keluarga di kampung

- Oleh Ahmad Suhael Adnan dan Ilah Hafiz Aziz bhnews@bh.com.my

Kepada golongan bujang yang rindukan keluarga, beri kami sedikit masa lagi untuk kita bincang bila mereka boleh dibenar melakukan perjalanan.

Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan (Keselamata­n)

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang mempertimb­angkan kebenaran kepada golongan bujang, untuk pulang ke kampung halaman menziarahi ibu bapa atau keluarga masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamata­n), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengakui memahami perasaan individu bujang yang rindukan keluarga selepas hampir tiga bulan tidak bertemu mereka.

“Saya bersimpati dengan individu bujang. Saya juga pernah bujang dan kalau boleh setiap minggu mahu berjumpa arwah mak dulu.

“Saya faham dan kerajaan sudah mula berbincang mengenai beberapa kelonggara­n yang boleh diberikan dalam mesyuarat hampir setiap hari.

“Kepada golongan bujang yang rindukan keluarga, beri kami sedikit masa lagi untuk kita berbincang bilakah mereka boleh dibenarkan melakukan perjalanan. Kita takkan tutup selama-lamanya,” katanya selepas mesyuarat jawatankua­sa khas menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, semalam.

Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan kebenaran kepada mana-mana pasangan jarak jauh (PJJ) melakukan perjalanan rentas negeri, tertakluk kepada kebenaran polis.

“Peraturan umum adalah perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan, namun pengecuali­an diberikan untuk empat perkara iaitu ahli keluarga sakit teruk, kematian, bekerja serta pasangan terpisah.

“Semua kebenaran bersyarat ini perlukan permohonan dibuat dan tidak secara automatik kerana polis akan tentukan, sama ada mereka benar-benar menepati syarat berkenaan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, satu kompaun ziarah dan 144 kesalahan rentas negeri diambil tindakan oleh polis pada Syawal ketujuh semalam, di samping 457 individu lagi dikenakan kompaun kerana ingkar PKPB.

Dalam perkembang­an berasingan, Ismail Sabri berkata, jumlah penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang masih berada di kampus ketika ini hanya berbaki 1,986 pelajar yang akan dihantar ke rumah keluarga mereka dalam masa terdekat.

Katanya, sejak 27 April lalu, Kementeria­n Pengajian Tinggi menghantar pulang 56,445 pelajar yang berada di kampus ke pangkuan keluarga mereka.

 ?? (Foto hiasan) ?? Kerajaan sedia pertimbang­kan beri kebenaran individu bujang merentas negeri untuk bertemu keluarga selepas hampir tiga bulan PKP dilaksana.
(Foto hiasan) Kerajaan sedia pertimbang­kan beri kebenaran individu bujang merentas negeri untuk bertemu keluarga selepas hampir tiga bulan PKP dilaksana.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia