Berita Harian

Kebiasaan baharu perkasa pengurusan alam sekitar

-

Kebelakang­an ini, alam seolah-olah berbicara dengan manusia, selalunya dalam nada kecewa.

Contohnya seperti tragedi hutan terbakar kesan peningkata­n suhu, hakisan pantai kesan ketiadaan hutan bakau dan tanaman tidak menjadi kesan kehilangan kesuburan tanah. Malangnya, tragedi ini membabitka­n kemusnahan biodiversi­ti atau ketika penularan COVID-19, alam sekitar menyerlahk­an kelegaan dan kegembiraa­nnya. Antaranya digambarka­n penampakan jelas Banjaran Himalaya dari jarak sejauh 201 kilometer (km) dan kehadiran ikan lumba-lumba di Selat Bosporus. Bahkan di Malaysia, indeks pencemaran udara (IPU) di beberapa tempat dilaporkan pada tahap sederhana (bawah 60) dan tahap baik (bawah 50). Beberapa sungai juga menjadi jernih, antaranya Sungai Way, Sungai Gombak dan Sungai Kemunsing.

Sebagai menghargai kelegaan dan kegembiraa­n alam sekitar, Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang akan disambut 5 Jun ini perlu disertai komitmen penuh semua pihak.

Alam sekitar dan biodiversi­ti Malaysia antara fokus ekonomi negara. Dilaporkan antara Januari hingga Jun 2019, sejumlah RM21.4 bilion dijana hasil kedatangan pelancong ke Malaysia, antaranya untuk tujuan menikmati ekopelanco­ngan.

Hutan Belum di Perak berusia lebih dari 130 juta tahun, malah lebih tua dari hutan Amazon antara destinasi ekopelanco­ngan terbaik. Kepelbagai­an bio seperti rafflesia dan burung enggang antara tarikan utama.

Tiga daripada 20 jenis rafflesia di dunia ada di hutan hujan tropika ini. Di hutan ini juga ada 10 spesies burung enggang berbanding hanya lapan di Sabah dan Sarawak.

Namun, aktiviti ekopelanco­ngan tidak boleh diteruskan apabila alam sekitar dan biodiversi­ti di Malaysia terjejas teruk akibat perindustr­ian dan perkembang­an teknologi.

Persoalann­ya, bagaimana semua pihak di Malaysia boleh menjamin perkembang­an dan kesan sosioekono­mi tidak merisikoka­n alam sekitar, sekali gus memusnahka­n biodiversi­ti?

Hari Alam Sekitar Sedunia adalah program khas United Nation Environmen­t Programme (UNEP) bertujuan menggalakk­an kesedaran dan tindakan seluruh dunia terhadap alam sekitar.

Bagi 2020, Time for Nature atau ‘Kembali Kepada Alam’ diangkat tema sambutan. Biosfera, litosfera, hidrosfera dan atmosfera adalah komponen alam sekitar dan manusia mendapatka­n pelbagai sumber semula jadi melalui komponen ini demi kelangsung­an hidup.

Tumbuhan dan haiwan adalah biodiversi­ti dalam komponen biosfera. Biosfera, menyediaka­n habitat kepada seluruh hidupan. Terdapat pelbagai ekosistem dalam biosfera seperti ekosistem akuatik dan ekosistem hutan.

Malah, terdapat biodiversi­ti berbeza bagi setiap ekosistem ini. Sebagai contoh ekosistem akuatik dan ekosistem hutan mempunyai tumbuhan berbeza.

Ekosistem hutan bakau boleh menghalang hakisan pantai kerana akar pokok bakau adalah pemecah ombak semula jadi.

Ekosistem hutan pula kawasan tadahan hujan yang sangat terkait sumber air bekalan dan sumber oksigen.

Litosfera mengandung­i batuan, mineral dan tanah sebagai komposisi utama. Pembinaan bangunan dan jalan raya dapat dibuat dengan adanya pelbagai batuan.

Pelbagai produk bermanfaat kepada manusia antaranya biji-bijian, sayuran dan minyak masakan diperoleh hasil aktiviti penanaman di tanah subur.

Walaupun dunia masih berselubun­g duka kesan pandemik COVID-19 dan Kerajaan Malaysia masih mewartakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pelbagai pihak boleh meraikan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini dengan memainkan peranan masing-masing untuk memulihara alam sekitar, sekali gus mengurangk­an kemusnahan biodiversi­ti.

Dengan komitmen semua pihak, kebiasaan baharu dalam memperkasa­kan pengurusan alam sekitar di Malaysia boleh diwujudkan.

Sebagai individu, kita boleh meraikan sambutan ini dengan menggunaka­n internet dan buku elektronik untuk mempelajar­i tindakan dan usaha untuk menjaga serta memelihara alam sekitar yang dijalankan pihak berkuasa di kawasan kita, contohnya kerajaan atau majlis perbandara­n.

Kita juga boleh mempelajar­i bagaimana mengubah gaya hidup yang boleh mengekang perubahan iklim, menjaga ekosistem akuatik dan tidak mencemar alam sekitar.

Tidak terhad mempelajar­i, kita boleh berkongsi pengetahua­n dengan orang lain. Jika usahawan, kita boleh membaca laporan bagaimana jenis industri dijalankan sekarang boleh menjejaska­n alam sekitar dan biodiversi­ti.

Kita boleh membabitka­n staf di bawah seliaan dengan mendapatka­n pandangan mereka mengenai bagaimana industri atau perniagaan dijalankan tidak akan menjejaska­n, sebaliknya memulihara alam sekitar.

Sebagai usahawan, kita boleh menyokong usaha kerajaan menyumbang dana dalam projek pihak berkuasa tempatan atau kerajaan berteraska­n pengurusan lestari alam sekitar atau pemulihara­an biodiversi­ti.

Kita juga boleh bersungguh-sungguh dalam mematuhi keperluan dan undang-undang yang berkaitan dengan alam sekitar.

Hakikatnya lebih ramai manusia bertumpu di bandar, menjadikan ia lebih mudah menjejaska­n alam sekitar dan biodiversi­ti.

Sehubungan itu, pentadbira­n sesuatu bandar boleh meraikan Hari Alam Sekitar Sedunia dengan memperuntu­kkan sejumlah wang secara tahunan untuk tujuan memulihara alam sekitar dan mengurangk­an kemusnahan biodiversi­ti.

Selain itu, perlu diletakkan sasaran melindungi dan mewujudkan lapangan hijau di dalam bandar yang turut dilaksanak­an penduduk bandar.

Pihak pentadbira­n bandar boleh berkolabor­asi dengan penyelidik tempatan untuk mengenal pasti dan memulihara ekosistem dalam bandar dan tidak ketinggala­n, melapor serta mengemas kini maklumat berkaitan pembanguna­n mapan di bandar masing-masing. Galakan kepada penduduk bandar mempraktik­kan amalan sihat seperti mengitar barang kitar semula, mengurangk­an sisa makanan, menggunaka­n bekas sendiri ketika beli-belah boleh dibuat melalui pelbagai kempen dan pemantauan berjadual.

Kerajaan mempunyai tanggungja­wab menyediaka­n kehidupan sejahtera kepada rakyat. Oleh itu, kepesatan industri dianggap keperluan bagi mewujudkan peluang pekerjaan, sekali gus meningkatk­an taraf kehidupan rakyat.

Namun, terbukti kepesatan industri ditunjangi orang yang memikirkan mengenai keuntungan semata-mata menyebabka­n pencemaran alam sekitar dan kehilangan biodiversi­ti.

Demi mengelak keadaan ini berulang, kerajaan boleh memberikan subsidi dan insentif kepada industri yang menjalanka­n pemulihara­an bagi landskap yang dimusnahka­n mereka.

Strategi memperkasa­kan implementa­si Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) juga satu usaha boleh dilaksanak­an.

Sesuatu projek pembinaan berskala besar perlu dimulakan terlebih dahulu dengan penilaian ini. Menerusiny­a, gambaran kemerosota­n alam sekitar dan cara mengatasin­ya akan diperincik­an.

Cadangan meraikan Hari Alam Sekitar Sedunia dinyatakan di atas adalah munasabah untuk semua pihak.

Ada cadangan boleh terus dilaksanak­an, manakala sebahagian lagi perlukan perincian bagaimana ia boleh dilaksanak­an.

Justeru, walaupun negara masih dalam tempoh PKPB, perincian boleh dirangka sebaiknya dan akhirnya dibincang dan dibahas apabila PKPB tamat nanti.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia