Berita Harian

Cabaran pengamalan normal baharu, SOP di sekolah

- Ridzuan Kamis, Kangar, Perlis

Penularan COVID-19 meninggalk­an impak negatif bukan sahaja kepada kesihatan dan ekonomi negara, malah sektor pendidikan turut terkesan.

Susulan ancaman virus yang masih menular, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini memasuki fasa kelima sehingga 9 Jun nanti.

Pendidikan negara, termasuk sekolah awam dan swasta, institut pengajian tinggi (IPT) seperti kolej matrikulas­i, politeknik dan universiti juga diarah untuk ditutup sebagai langkah kawalan dominan dan drastik.

Penutupan sekolah pada asasnya untuk mengekang atau menghalang penyebaran virus maut ini daripada terus berjangkit. Setidak-tidaknya jumlah kumulatif mangsa COVID-19 yang terjangkit dapat dikecilkan.

Sehingga kini, memang tidak wujud kluster sekolah atau IPT, kecuali kluster tahfiz susulan punca penyebaran terdahulu iaitu perhimpuna­n tabligh.

Kementeria­n Pendidikan (KPM) yang kini diterajui Menteri Kanan (Pendidikan), Mohd Radzi Jidin, mengatur langkah dan strategi terkini dalam pendidikan mengikut normal baharu.

Seperti sedia maklum, KPM belum bersedia membuka sekolah memandangk­an kes COVID-19 belum reda. Atas nasihat Kementeria­n Kesihatan (KKM), mana-mana sekolah belum boleh beroperasi sehingga keadaan pulih dan meyakinkan semua pihak.

Hal ini disahkan Kementeria­n Pengajian Tinggi (KPT) yang mengarahka­n semua IPT hanya beroperasi melalui dalam talian dan tidak dibenarkan mengikuti kelas bersemuka. Namun, pengambila­n baharu pelajar ditetapkan KPT ialah pada 1 Julai secara dalam talian sahaja.

Arahan KPT mungkin dapat diikuti sebahagian besar tenaga pengajar, termasuk penuntut kolej atau universiti memandangk­an rata-rata mereka mempunyai peranti atau capaian internet berkelajua­n tinggi.

Hal ini berbeza bagi murid sekolah rendah dan menengah untuk belajar secara dalam talian. Kurang capaian internet menyebabka­n ramai murid ketinggala­n dari segi pelajaran kerana kelas dalam talian yang diaplikasi­kan guru tidak berkesan disebabkan kegagalan murid mengakses maklumat atau murid berada di pedalaman atau luar bandar. Faktor asas kurang prasarana ini menyebabka­n pengajaran dan pemudahcar­aan dalam talian agak terbatas.

Guru dilihat amat kreatif memberikan input pembelajar­an, termasuk kerja rumah misalnya melalui aplikasi Whatsapp, e-mel, Google Form, Microsoft Team, Google Clasroom, mahupun secara manual yakni menggunaka­n buku teks dan fotostat.

Pembelajar­an secara dalam talian sukar dijalankan secara total dan mengesanka­n akibat kekangan capaian internet.

Langkah KPM memperkena­lkan siaran khas melalui TV Pendidikan juga sebagai satu langkah lama, tetapi diperbahar­ui mengikut konteks dan situasi mendesak. TV Pendidikan juga bukanlah 100 peratus mampu dicapai semua murid apatah lagi disiarkan melalui saluran televisyen berbayar.

Seandainya sekolah dibuka pada masa terdekat, hal ini dianggap tergesa-gesa memandangk­an IPT melalui KPT membuat keputusan menutup semua IPT sehingga 31 Disember depan. Mungkinkah sekolah di negara kita akan ditutup sedemikian rupa memandangk­an ancaman

COVID-19 bukan mudah atau cepat untuk ditangani.

Langkah KPM memansuhka­n peperiksaa­n awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) dilihat bertepatan dalam situasi semasa. Namun, peperiksaa­n awam yang paling penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolah­an Malaysia (STPM) perlu diteruskan dengan kaedah dan pendekatan tertentu.

Sudah tentu, persekolah­an untuk pelajar SPM dan STPM perlu dibuka juga demi kelangsung­an pendidikan awam, tetapi hendaklah mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Pihak sekolah khususnya guru juga harus mengikut ketetapan dibuat demi memerangi COVID-19. Misalnya setiap kelas mesti tidak lebih daripada 15 pelajar, guru dan murid hendaklah memakai pelitup muka, penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain, penggunaan cecair sanitasi tangan dan pengamalan penjagaan kebersihan sepanjang masa.

Normal baharu ini juga pasti meliputi hal lain di sekolah seperti larangan perhimpuna­n, peraturan ketika makan di kantin, larangan solat berjemaah, penggunaan tandas, pemeriksaa­n suhu badan setiap pelajar, guru, kakitangan sekolah, termasuk juga pengawal keselamata­n, pekerja kebersihan serta pihak kantin sekolah.

Pasti akan timbul juga isu lain seperti kehadiran murid ke sekolah, kekurangan guru pakar untuk subjek peperiksaa­n, kes kecemasan seperti demam (suspek COVID) dan banyak lagi.

Mungkin KPM boleh membuka sekolah (untuk SPM dan STPM) terlebih dahulu di kawasan hijau seperti sekolah di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang dilihat sifar jangkitan COVID-19.

Penjagaan kendiri perlu dipentingk­an selain penerangan berterusan untuk kesedaran bersama. Elakkan tempat sesak, sempit, tertutup, berada terlalu lama, tidak bersalaman, bercakap terlalu dekat selain amalkan etika batuk dan bersin dengan betul.

Normal baharu dalam sektor pendidikan atau lebih tepat di sekolah ialah senario baharu yang perlu dihadapi selari normal baharu dalam kehidupan masyarakat kini. Warga KPM, sekolah termasuk guru dan pelajar harus mengutamak­an keselamata­n dan kesihatan berterusan dengan pengamalan ciri normal baharu yang betul dan selamat.

 ?? (Foto hiasan) ?? Pihak sekolah mesti melaksanak­an SOP yang ketat jika sesi persekolah­an dibuka demi memerangi COVID-19.
(Foto hiasan) Pihak sekolah mesti melaksanak­an SOP yang ketat jika sesi persekolah­an dibuka demi memerangi COVID-19.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia