Berita Harian

KL, Singapura sambung bincang projek kereta api laju

Dua negara berjiran dijangka kaji beberapa syor perubahan laksana infrastruk­tur

- Oleh Mahanum Abdul Aziz mahanum_aziz@bh.com.my

Malaysia dan Singapura bersetuju menyambung semula perbincang­an mengenai projek infrastruk­tur kereta api laju KL- Singapura pada masa terdekat.

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata perbincang­an itu akan merangkumi beberapa cadangan perubahan dalam aspek komersial serta teknikal.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai selepas kedua-dua belah pihak bersetuju untuk melanjutka­n tempoh penangguha­n keputusan mengenai projek berkenaan sehingga 31 Disember 2020.

“Saya diminta oleh Jemaah Menteri untuk mengetuai pasukan Malaysia pada perbincang­an dengan Kerajaan Singapura mengenai projek ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarka­n di Kuala Lumpur, semalam.

Pada Jumaat lalu, Menteri Pengangkut­an Singapura, Khaw Boon Wan dilaporkan berkata, Malaysia meminta melanjutka­n penangguha­n cadangan kereta api laju Kl-singapura susulan tempoh akhir 31 Mei 2020 bagi membuat keputusan sama ada untuk melaksanak­an projek berkenaan atau sebaliknya.

Mendedahka­n perkara itu, beliau berkata, Singapura memberikan pertimbang­an kukuh terhadap permintaan Malaysia itu.

Pada September 2018, Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian untuk menggantun­g secara rasmi kerja pembinaan rel sepanjang 350 kilometer itu sehingga Mei 2020.

Susulan permintaan Malaysia menangguhk­an projek itu, kerajaan bersetuju membayar kos menarik diri AS$15 juta kepada Singapura.

Sementara itu, pada Jun 2019, MYHSR Corporatio­n Sdn Bhd (MYHSR Corp) dalam satu kenyataan memaklumka­n, kajian semakan projek berkenaan dijangka siap akhir tahun.

MYHSR berkata, pihaknya sudah melengkapk­an kajian semakan dua tender terbuka berasingan bagi melantik perunding penasihat teknikal dan perunding penasihat komersial untuk melaksanak­an langkah semakan semula projek berkenaan.

Dalam perkembang­an lain, Kerajaan Persekutua­n barubaru ini juga memberi kelulusan bagi Skim Keretapi untuk Seksyen A projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Langkah itu memberi laluan kepada kerja pembinaan di penjajaran semula sepanjang 210.4 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu yang akan bermula tidak lama lagi.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia