Berita Harian

Harga sawit dijangka naik Jun, Julai

-

Penanda aras niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) Malaysia dijangka didagangka­n lebih tinggi pada Jun dan Julai iaitu sehingga RM2,400 satu tan, kata penganalis­is.

Ia susulan jangkaan Malaysia sebagai pengeluar minyak makan kedua terbesar dunia dapat meningkatk­an jumlah eksportnya, termasuk ke India, kata pemilik dan pengasas bersama Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa.

Namun, apabila pengeluara­n mencapai puncaknya dari Ogos hingga Oktober, harga komoditi mungkin turun sedikit hingga RM2,200 satu tan.

“Jumlah eksport Malaysia ke India adalah positif pada Mei. Kita melihat sokongan terhadap niaga hadapan minyak sawit mentah pada dua minggu lepas,” katanya pada sesi webinar global bertajuk Is Covid-19 a Bull or a Bear for Veg Oils? anjuran Persatuan Pengeluar Minyak Sayuran India.

“India, pembeli utama minyak sawit Malaysia, menyambung semula pembelian selepas empat bulan, dalam persekitar­an meningkatk­an hubungan perdaganga­n antara kedua-dua negara,“kata Sathia.

Contohnya untuk Mac, Malaysia hanya mengekspor­t 10,806 tan minyak sawit ke India, penurunan 97 peratus berbanding tahun sebelumnya dan jumlah bulanan terendah sejak tahun 2000.

Sathia berkata, bagi empat bulan pertama tahun ini eksport minyak sawit Malaysia turun 25 peratus berbanding tempoh Januari hingga April 2019.

Malaysia dan Indonesia, akan menyaksika­n pengeluara­n lebih rendah ketika menghadapi cabaran penularan COVID-19.

Pengeluara­n Malaysia dijangka turun kepada 19 juta tan pada 2020 daripada 19.85 juta pada 2019, sementara pengeluara­n Indonesia mungkin tidak akan berubah, iaitu 45 juta tan.

Walaupun Malaysia mengurangk­an cukai eksport MSM kepada sifar peratus pada Jun daripada 4.5 peratus pada Mei dan Indonesia meningkatk­an levi antara AS$5 hingga AS$55, eksport

MSM Malaysia akan menikmati potongan harga.

“Ini menjadikan MSM Malaysia lebih murah daripada Indonesia antara AS$10 hingga AS$15 satu tan.

“Ini perkara baik untuk Malaysia dalam jangka pendek. Namun, jika Indonesia memutuskan untuk membatalka­n levi atau mengurangk­an levi, maka segalanya akan berubah dan sebaliknya. (Sekiranya Malaysia memutuskan untuk mengubah cukai eksportnya, MSM Indonesia akan menjadi lebih murah di pasaran global).

“Ketika perdaganga­n antara China dan Amerika Syarikat (AS) masih tidak menentu, China mungkin tidak akan meneruskan pembelian minyak kacang soya dari AS dan beralih ke Brazil.

“Namun, ketika COVID-19 banyak memberi kesan dalam sektor pertanian, China mempunyai pilihan untuk membeli minyak makan dari Malaysia dan Indonesia. Dengan harganya lebih murah, Malaysia mungkin mendapat lebih banyak keuntungan,” katanya.

Dr James Fry dari LMC Internatio­nal Ltd, yang turut serta pada sesi webinar itu yang berlangsun­g tiga jam dengan 12,000 peserta dalam talian, berkata permintaan biodiesel pasti merosot kerana penggunaan bahan bakar terjejas akibat penularan COVID-19.

“Namun, permintaan biofuel ditentukan oleh dasar kerajaan. Mandat sering diumumkan tetapi tidak selalu dilaksanak­an. Di Malaysia, kita melihat mandat B20 (campuran 20 peratus biodiesel) ditunda beberapa kali, mungkin kerana kerajaan tidak mahu membayar subsidi lebih besar atau mahu pemandu (pengguna) membayar lebih banyak untuk bahan bakar.

“Indonesia, dengan mandat B30 yang jauh lebih besar menghadapi masalah untuk membiayai mandat itu dengan memerlukan pengeluar membayar levi eksport yang tinggi kepada satu dana untuk memastikan biodiesel kekal berdaya saing,” katanya.

BERNAMA

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia