Berita Harian

Industri perlu terima perubahan pasca PKP, COVID-19

-

Sektor ekonomi yang pelbagai di Malaysia perlu mengadapta­si perubahan bentuk persekitar­an ekonomi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IOT Malaysia (MARII), Datuk Madani Sahari, berkata perubahan ketara dalam pasaran dapat dilihat sejak hari pertama PKP dikuat kuasa yang mana banyak sektor ekonomi terhenti, tetapi permintaan kepada penghantar­an makanan dan barangan secara atas talian meningkat mendadak.

Katanya, cara bekerja dan pembelajar­an turut melalui transforma­si dengan drastik apabila penggunaan perisian mesyuarat secara maya meningkat, serta kaedah baharu pembelajar­an atas talian mendapat perhatian umum.

“Bagi saya, kita tidak boleh melihat PKP dan COVID-19 sebagai suatu ‘tempoh kejatuhan ekonomi’ yang memerlukan pemulihan kerana ekonomi dunia sudah berubah bentuk dengan kemunculan wabak ini.

“Sebaliknya, ini menjadi suatu anjakan paradigma di dalam pasaran, bermakna strategi perubahan kepada ekonomi pasca-covid19 perlu dititikber­atkan oleh semua pemegang taruh, dari segi polisi dan juga model perniagaan,” katanya kepada BH.

Madani berkata, MARII juga sudah mengetenga­hkan program yang dirangka khas bagi meningkatk­an kebolehan dan kemahiran spesifik di dalam penggunaan teknologi baharu.

Beliau berkata, ia dapat dilihat menerusi program seperti Technopren­eur Developmen­t Program (TDP) dan Platform Teknologi Pintar MARII (MITP) yang diperkenal­kan tahun lalu.

“Semua program MARII menerapkan pengetahua­n asas seperti reka bentuk, proses pembuatan dan pengurusan kualiti serta diperbahar­ui untuk merangkumi teknologi pendigital­an terkini seperti pengurusan data raya, percetakan tiga dimensi, simulasi, realiti maya dan lain-lain.

“Semestinya, program ini dapat membantu mereka yang terkesan akibat penurunan ekonomi, serta syarikat dapat menggunaka­n program ini untuk melatih dan menyesuaik­an semula pekerja dengan kemahiran dan pengetahua­n kritikal bagi menjangkau keperluan ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata, walaupun pengangkut­an masih lagi menjadi keperluan asas, sektor automotif tidak lagi boleh melaksanak­an perniagaan melalui strategi yang digunakan sebelum era COVID-19.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia