Berita Harian

Henti pekerja wajar jadi pilihan akhir: MEF

-

Pemberhent­ian pekerja adalah pilihan terakhir yang akan diambil majikan jika perniagaan tidak mampu beroperasi seperti normal pasca perintah kawalan pergerakan.

Pengarah Eksekutif Persekutua­n Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata menamatkan khidmat pekerja tidak wajar menjadi fokus utama majikan untuk mengurangk­an kesan aliran tunai.

Sebaliknya, beliau berkata, langkah memberhent­ikan pekerja dilihat merugikan majikan memandangk­an kebanyakan pekerja sudah dilatih dan mempunyai kemahiran tertentu.

“Jika pekerja diberhenti­kan dan keadaan ekonomi pulih sudah tentu majikan terpaksa mengambil pekerja baharu dan melatihnya bersesuaia­n dengan kehendak majikan.

“Proses berkenaan menelan belanja tinggi dan mengambil masa yang lama,” katanya ketika dihubungi BH di Kuala Lumpur, barubaru ini.

Shamsuddin berpandang­an, jika majikan masih boleh bertahan dalam persekitar­an perniagaan serba mencabar ketika ini, adalah lebih baik jika pekerja tidak dibuang kerja, sebaliknya mengambil solusi lain yang lebih bijak, berhemah dan menang-menang.

“Majikan boleh mengambil langkah lain, termasuk mengurangk­an kos gaji dengan melaksanak­an potongan gaji dan cuti tanpa gaji.

“MEF berharap kerajaan membuat peraturan yang membenarka­n majikan untuk mengurangk­an gaji dan faedah perkhidmat­an yang dapat menurunkan kos buruh dan langkah berkenaan boleh membantu majikan untuk tidak menghentik­an pekerja,” katanya.

Beliau berkata, majikan amat memerlukan sokongan kerajaan dan pekerja untuk terus ‘bernafas’ ketika ini.

Katanya, beban mengurangk­an perniagaan hendaklah ditanggung bersama dan tidak adil untuk membiarkan majikan memikul beban sendirian yang mana akan menjurus kepada pemberhent­ian pekerja.

“Dalam keadaan ekonomi semasa, jika pekerja diberhenti­kan akan menjadi terlalu sukar untuk pekerja mendapat pekerjaan baru kerana kebanyakan majikan melaksanak­an polisi pembekuan pengambila­n.

“Pekerja seharusnya menyokong majikan untuk mengekalka­n pekerjaan dengan menerima gaji dan faedah yang berkuranga­n untuk sementara waktu dan diharapkan bila ekonomi pulih pekerja masih ada pekerjaan dan faedah yang di kurangkan akan diberikan semula,” katanya.

Shamsuddin berkata, kerajaan juga boleh menggalakk­an peminjaman guna tenaga pekerja yang mengalami kemerosota­n permintaan kepada sektor yang memerlukan tenaga kerja untuk sementara waktu.

“Dengan cara ini syarikat yang mengalami kemerosota­n permintaan tidak perlu memberhent­ikan pekerja, tetapi meminjamka­n mereka ke sektor yang masih berdaya saing seperti pembuatan peralatan perlindung­an diri (PPE) yang mempunyai permintaan tinggi,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia