Berita Harian

Faktor luaran pengaruhi pasaran

Kenyataan Trump, harga minyak jadi tumpuan minggu ini

- Bursa Malaysia

dijangka terus diniagakan berhati-hati minggu ini apabila sentimen pasaran dipengaruh­i sebahagian besarnya oleh faktor luaran, terutama berikutan peningkata­n ketegangan antara Amerika Syarikat (As)-china.

Peniaga berkata, keputusan sidang media Presiden AS, Donald Trump pada Jumaat akan menjadi pemangkin utama bagi pasaran ekuiti global kerana ia akan menentukan prospek pemulihan ekonomi global.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global Axicorp, Stephen Innes, berkata reaksi negatif atau positif daripada kenyataan Trump berkaitan isu di Hong Kong dan sama ada harga minyak akan terus meningkat akan menjadi tumpuan pasaran pada minggu ini.

Di dalam negara, katanya, pasaran mencatatka­n prestasi yang sangat baik ketika minggu yang baru sahaja berakhir apabila inisiatif daripada kerajaan dan rangsangan (penurunan kadar) Bank Negara Malaysia membantu ketika ekonomi dibuka semula.

“Dengan kemungkina­n satu lagi penurunan kadar, sentimen akan mendapat lagi rangsangan sekiranya jumlah kes COVID-19 kekal mendatar di seluruh dunia dengan pembukaan semula ekonomi.

“Pasaran dijangka berada dalam jajaran dagangan baharu antara 1,450 dan 1,475 pada minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Ketika minggu dagangan singkat yang baru berakhir ini, ketegangan antara Washington dan Beijing semakin memburuk, menyebabka­n ekuiti global jatuh menjunam dan menjejaska­n harapan pemulihan ekonomi global di tengah-tengah perkembang­an terkini berhubung vaksin COVID-19, ditambah dengan pembukaan semula aktiviti perniagaan.

Pasaran tempatan ditutup pada Isnin dan Selasa sempena cuti umum Aidilfitri.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks utama meningkat 37.49 mata untuk ditutup kepada 1,473.25.

Di papan skor, Indeks FBM Emas naik 286.73 mata kepada 10,463.85, Indeks FBMT 100 meningkat 287.89 mata kepada 10,313.21 dan Indeks FBM Emas Syariah melonjak 404.88 mata kepada 12,025.22.

FBM 70 meningkat 500.04 mata kepada 13,195.2 dan Indeks FBM ACE naik 232.02 mata kepada 5,619.81.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmat­an Perindustr­ian naik 5.67 mata kepada 130.06, Indeks Perladanga­n meningkat 62.32 mata kepada 6,785.17 dan Indeks Perkhidmat­an Kewangan menokok 102.01 mata kepada 12,482.74.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, jumlah dagangan mingguan turun kepada 23.18 bilion unit bernilai RM19.53 bilion daripada 41.29 bilion unit bernilai RM21.53 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 13.58 bilion saham bernilai RM16.95 bilion berbanding 30.09 bilion saham bernilai RM18.77 bilion.

Jumlah dagangan waran berkuranga­n kepada 1.71 bilion unit bernilai RM521.91 juta berbanding 3.16 bilion unit bernilai RM643.55 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 7.88 bilion saham bernilai RM2.06 bilion berbanding 8.02 bilion saham bernilai RM2.11 bilion.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia