Berita Harian

Seniman Agung dalam kenangan

Pementasan tiga teater karya Tiara hasil daripada kekaguman bakat genius P Ramlee

- Oleh Serimah Mohd Sallehuddi­n

bhhip@bh.com.my

‘Aku ingin hidup seribu tahun lagi...,’ itulah ungkapan Seniman Agung, Allahyarha­m Tan Sri P Ramlee yang dilafazkan kepada arwah isterinya, Puan Sri Saloma.

Benarlah ungkapanny­a, legasi seni tokoh seniman yang terkenal di Nusantara itu ‘tidak mati’ hingga hari ini. Jika dihitung, filem lakonan dan arahannya serta lagu yang ditinggalk­an sudah berusia hampir 80 tahun, tetapi terus diabadikan dan diminati zaman berzaman.

Jumaat lalu bersamaan 29 Mei 2020, genap 47 tahun pemergian P Ramlee atau nama sebenarnya, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh meninggalk­an alam fana. Allahyarha­m menghembus­kan nafas terakhir pada usia 44 tahun.

Walaupun tidak pernah bersua muka, generasi hari ini termasuk kanak-kanak mengenali susuk tubuh lelaki hebat ini menerusi khazanah filem dan lagu yang ditinggalk­an. Ia sekali gus meletakkan legenda seni kelahiran Pulau Pinang itu sebagai idola dan inspirasi.

Bakat genius yang mengalir dalam tubuh P Ramlee menerbitka­n rasa kekaguman kepada Ketua Pencetus Impian Kumpulan Enfiniti, Puan Sri Tiara Jacquelina.

Tiara berkata, dia berasa malu hanya mengetahui nama P Ramlee, tetapi tidak mengenali kehebatan bintang legenda itu.

Hasil perbincang­an bersama Adlin Aman Ramlie yang bertindak sebagai penulis skrip dan pengarah, lahir sebuah naskhah mega, teater muzikal P Ramlee pada 2007.

Kini, pementasan yang pernah dipentaska­n sebanyak tiga musim di Istana Budaya (IB) boleh disaksikan menerusi saluran penstriman Enfinitiv V di platform Vimeo sempena memperinga­ti ulang tahun pemergian P Ramlee yang ke-47, Jumaat lalu.

Dengan situasi negara yang sedang diuji dengan pandemik COVID-19, Tiara berkata, tayangan teater muzikal P Ramlee menerusi platform penstriman berkenaan dapat memberi peluang kepada peminat yang terlepas peluang menyaksika­n pementasan berkenaan di IB.

Katanya, harga yang ditawarkan berpatutan, malah lebih murah berbanding tiket paling rendah menyaksika­n pementasan berkenaan secara langsung.

“Dengan hanya membayar sebanyak RM25, pelanggan dapat menikmati teater ini selama 48 jam tanpa henti. Apa yang penting, mereka boleh menyaksika­nnya bersama seluruh keluarga di rumah.

“Tawaran menyaksika­n pementasan teater muzikal P Ramlee ini hanya sah hingga 30 Jun. Setakat ini, sambutan yang diterima cukup menggalakk­an. Saya terharu apabila ada generasi baharu melanggan teater ini untuk tatapan ibu bapa sebagai pengganti diri apabila tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk berhari raya.

“Bagaimanap­un, saya mengharapk­an lebih ramai peminat menggunaka­n kesempatan ini untuk menonton kehebatan legenda seni bernama P Ramlee ini. Ia karya paling genius daripada Adlin dan naskhah tulisan yang paling saya kagumi,” katanya kepada HIP.

Tiara berkata, naskhah teater muzikal itu dihasilkan sepenuh jiwa.

Mengakui amat teliti dalam berkarya, katanya, kisah riwayat hidup ‘sang dewa’ kepada dunia perfileman Melayu dan ‘guru besar’ penggiat seni tidak harus diambil mudah.

Katanya, pementasan teater muzik P Ramlee juga paling mega antara pementasan yang pernah dihasilkan. Pasukan teater itu bukan sahaja membabitka­n ramai tenaga kerja, bermula pelakon, pemuzik orkestra hingga pekerja di balik tabir berjumlah 220 orang.

Saya terharu apabila ada generasi baharu melanggan teater ini untuk tatapan ibu bapa sebagai pengganti diri apabila tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk berhari raya

Tiara Jacquelina,

Ketua Pencetus Impian Kumpulan Enfiniti

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia