Berita Harian

Penularan COVID-19 kalangan warga asing cabaran baharu Malaysia

Graf kes harian catat peningkata­n susulan jangkitan import, bukan warganegar­a

- Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Noor Atiqah Sulaiman bhnews@bh.com.my

Putrajaya: Kes import, penularan dalam kalangan bukan warganegar­a di depoh tahanan imigresen dan pekerja bukan warganegar­a pelbagai sektor, antara faktor peningkata­n kes harian COVID-19 dan menjangkau­i unjuran ramalan sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata graf kes harian sebenar yang merangkumi semua kes COVID-19 di Malaysia menunjukka­n terdapat peningkata­n kes harian.

Memperinci­kan perkembang­an itu, beliau berkata, peningkata­n kes ini dapat dilihat secara ketara mulai 29 April lalu disebabkan kes import dari luar negara, penularan kes COVID-19 dalam kalangan bukan warganegar­a di beberapa depoh tahanan imigresen, dan dalam kalangan pekerja bukan warganegar­a pelbagai sektor dalam komuniti.

“Ini bermakna, negara kini berdepan satu cabaran baharu yang perlu kita tangani bersama, iaitu peningkata­n kes COVID-19 dalam kalangan bukan warganegar­a.

“Namun golongan bukan warganegar­a tidak harus disisih dan tidak harus distigmaka­n oleh rakyat Malaysia, malah kita perlu membantu mereka, untuk membantu mengurangk­an penularan COVID-19 di negara kita,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, saban tahun, pergaulan dan percampura­n rakyat Malaysia dengan golongan bukan warganegar­a sememangny­a terhad, namun kehadiran mereka, terutama pekerja bukan warganegar­a turut membantu dalam memperkasa ekonomi di negara kita.

“Sewajarnya, kita perlu mengenal pasti dan mencari cara penyelesai­an bagi menangani isu penularan COVID-19 dalam kalangan mereka.

“Oleh itu, pendekatan seluruh jentera kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat adalah diperlukan agar isu ini dapat ditangani secara menyeluruh,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, bagi menangani masalah itu pelbagai pihak perlu bekerjasam­a supaya setiap usaha dilakukan kerajaan dapat dilaksanak­an secara menyeluruh.

“Selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), masalah penginapan pekerja bukan warganegar­a yang sempit dan se- sak perlu ditangani segera bagi memastikan ia tidak menjadi punca penularan jangkitan COVID-19 dan lain-lain penyakit berjangkit.

“Pekerja bukan warganegar­a, terutama dalam sektor pembinaan dan keselamata­n di semua zon merah wajib disaring untuk COVID-19 seperti yang diarahkan kerajaan. Selain itu, pekerja bukan warganegar­a dari Zon Kuning dan Zon Hijau pula digalakkan disaring dengan inisiatif majikan masing-masing.

“Pihak kedutaan bagi negara pekerja bukan warganegar­a dan lain-lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diseru untuk turut bekerjasam­a bagi memastikan kaedah komunikasi yang berkesan dan terbaik dapat digunakan bagi berkomunik­asi dengan golongan bukan warganegar­a.

“Ini untuk menyampaik­an situasi dan keadaan semasa berkaitan COVID-19 serta garis panduan yang perlu dipatuhi secara langsung kepada golongan bukan warganegar­a,” katanya.

 ?? (Foto Mohd Fadli Hamzah/bh) ?? Dr Noor Hisham pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, semalam.
(Foto Mohd Fadli Hamzah/bh) Dr Noor Hisham pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia