Berita Harian

Seri Paduka, Erdogan bincang tangani jangkitan, erat kerjasama

-

Kuala Lumpur: Yang di-pertuan Agong Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah berkenan menerima panggilan daripada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di Istana Negara, semalam.

Istana Negara dalam kenyataan di Facebook berkata, perbualan telefon selama 30 minit bermula pada jam 4 petang itu menyaksika­n kedua-dua pemimpin menumpukan perbincang­an dalam menangani cabaran COVID-19 di antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua pemimpin ini turut berbincang mengenai langkah memperkasa­kan hubungan dua hala yang sedia ada, selain meningkatk­an kerjasama dalam pelbagai bidang.

“Ia adalah perbincang­an julung kali di antara Al-sultan Abdullah dan Erdogan menerusi perbualan telefon,” katanya.

Istana Negara turut menyatakan, Al-sultan Abdullah sepatutnya mengadakan Lawatan Negara ke Turki selama lima hari, bermula 19 April lalu, namun lawatan berkenaan ditangguhk­an berikutan penularan COVID-19.

Seri Paduka pada 18 Disember tahun lalu berkenan menerima kunjungan hormat Erdogan di Istana Negara sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019.

Kunjungan itu adalah yang pertama bagi Erdogan sejak Al-sultan Abdullah dilantik sebagai Yang di-pertuan Agong ke-16 pada Januari tahun lalu.

Turki ketika ini adalah rakan dagangan Malaysia ketiga terbesar dari Asia Barat, manakala Malaysia rakan dagangan terbesar di negara ASEAN bagi Turki.

Dari Januari sehingga Julai 2019, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencatat RM5.22 bilion dan nilai eksport Malaysia mencecah RM4.24 bilion, manakala import dari Turki RM0.98 bilion.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia