Berita Harian

Lelaki maut dirempuh dari belakang

Mangsa dalam perjalanan pulang selepas hantar makanan dijual isteri

- Oleh Ahmad Johari Ali dan Faris Fuad bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dipandu lelaki disyaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, di sini, awal pagi semalam.

Dalam nahas jam 1.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Mohamed Zaili Mohamed, 44, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata ketika itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabang­sa, dekat Ampang, selepas menghantar makanan yang dijual isterinya.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Honda EX5 ditunggang mangsa dirempuh Nissan Grand Livina dipandu suspek berusia 21 tahun dari arah belakang.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke sebelah kiri bahu jalan, manakala motosikaln­ya diseret sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Suspek memberhent­ikan kenderaann­ya di bawah jejantas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa dekat kawasan itu selepas ditahan orang awam.

“Suspek kemudian dibawa ke Balai Trafik Jalan Tun H S Lee dan keputusan saringan ujian mendapati kandungan positif alkohol dalam pernafasan lelaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Berikutan itu, seorang pembantu kedai aksesori didakwa di Mahkamah Majistret, semalam, atas dakwaan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabka­n kematian Mohamed Zaili.

Tertuduh, Khor Yong Zhang, 21, mengaku tidak bersalah sebaik tuduhan terhadapny­a dibacakan di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi.

Zhang didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan sehingga menyebabka­n kematian Mohamed Zaili.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol yang mana kandungan alkohol dalam badan sebanyak 161mg/100ml iaitu melebihi 81mg/100ml daripada had yang ditetapkan sebanyak 80 mg/100 ml. Justeru, tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan dan menyebabka­n kematian Mohamed Zaili.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987, yang memperuntu­kkan hukuman denda antara RM8,000 hingga RM20,000 dan penjara antara tiga tahun hingga 10 tahun serta lesen memandu dibatalkan.

Pegawai Pendakwa, Abdullah Khazali, yang mengendali­kan kes, menawarkan jaminan RM10,000 dan memohon supaya lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Tertuduh diwakili peguam bela, Khairul Amin Abdullah, memohon jaminan rendah atas alasan masih muda dan akan membuktika­n tidak bersalah ketika perbicaraa­n pada masa akan datang.

Mahkamah kemudian membenarka­n tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan mengarahka­n lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

 ?? (Foto ihsan pembaca) ?? selepas dirempuh di Lebuhraya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur, awal pagi semalam. Gambar kanan, Zhang dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.
(Foto ihsan pembaca) selepas dirempuh di Lebuhraya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur, awal pagi semalam. Gambar kanan, Zhang dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.
 ??  ?? Motosikal mangsa diheret sejauh 2km
Motosikal mangsa diheret sejauh 2km

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia