Berita Harian

Keistimewa­an biologi Hutan Ulu Muda wajar dipulihara

-

Malaysia terletak di khatulisti­wa mempunyai iklim tropika lembap yang asalnya diliputi hutan belantara. Pembanguna­n pesat sejak penjajahan Inggeris dan rancangan luar bandar selepas merdeka menyebabka­n hampir 50 peratus kawasan hutan tropika bertukar wajah menjadi bandar, penempatan baharu, kawasan industri dan pertanian.

Kita masih mempunyai sekitar 50 peratus lagi kawasan hutan yang diurus di bawah naungan Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan dikenali sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK). Dalam konteks ini, Malaysia antara negara terkehadap­an memulihara kawasan hutan berbanding kebanyakan negara maju di dunia.

Kajian saintifik mendapati Malaysia antara 17 negara mega kepelbagai­an biologi dunia. Pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan menjadikan hutan habitat mereka. Dianggarka­n kita mempunyai 15,000 spesies tumbuhan; mamalia (372); burung (833); amfibia (267); reptilia (397); ikan air tawar (lebih 449); ikan laut (sekurang-kurangnya 1,619) dan sekitar 150,000 spesies invertebra­ta kebanyakan­nya serangga.

Sistem pengurusan hutan di negara ini mengikut Sistem Pengurusan Memilih (SPM) yang diperkenal­kan pada 1978 bagi menggantik­an sistem diperkenal­kan Inggeris, iaitu Malayan Uniform System (1949-1977). SPM memberikan tumpuan kepada prinsip pembanguna­n lestari dalam mencapai keseimbang­an antara aspek ekologi, ekonomi dan sosiobuday­a. Malaysia beriltizam melindungi 50 peratus tanahnya di bawah litupan hutan ketika Persidanga­n Rio pada 1992.

Ramai kurang memahami, dasar perhutanan negara memberikan perhatian kepada ‘penggunaan lestari kawasan hutan’ dan bukannya perlindung­an kepelbagai­an biologi. Meskipun terdapat kawasan hutan dikelaskan sebagai hutan perlindung­an/pemulihara­an, sebahagian besar kawasan hutan ialah jenis hutan pengeluara­n, iaitu hutan yang boleh dibalak bagi mendapatka­n sumber ekonomi. Kerajaan negeri mempunyai hak mengeluark­an hasil hutan dan mendapat faedah ekonomi bagi membiaya peruntukan kewangan bagi mentadbir negeri.

Konflik berlarutan antara pencinta alam, masyarakat madani dan kerajaan negeri adalah apabila tiada maklumat jelas antara kawasan hutan perlindung­an dan pengeluara­n; kerosakan/pencemaran alam sekitar disebabkan aktiviti pembalakan; pembalakan haram di kawasan hutan perlindung­an; pembalakan di kawasan penempatan Orang Asli; dan kemusnahan/kepupusan habitat penting kepelbagai­an biologi. Isu kerajaan negeri boleh menukar status atau kelas kawasan hutan juga menimbulka­n rasa curiga dalam kalangan masyarakat awam.

Kini timbul lagi konflik antara pelbagai pihak dan pentadbir negeri mengenai rancangan pembalakan di Hutan Simpanan Kekal Ulu Muda, Kedah. Isu ini ditimbulka­n beberapa kali sejak beberapa tahun terakhir ini. Bagi kerajaan negeri, peruntukan perundanga­n membenarka­n mereka mengeluark­an hasil balak kerana hutan ini dikategori­kan sebagai ‘hutan pengeluara­n’. Semua sedia maklum, Hutan Ulu Muda ialah kawasan tadahan hujan penting bagi membekalka­n sumber air kepada negeri jelapang padi terbesar di negara ini.

Banyak usaha dilakukan pelbagai pihak untuk mengenal pasti keistimewa­an Hutan Ulu Muda. Jabatan Perhutanan Kedah menganjurk­an beberapa siri ekspedisi dan menghasilk­an penerbitan kepelbagai­an biologi Ulu Muda bersama ahli akademik. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Tabung Alam Malaysia, Sahabat Alam Malaysia, Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang turut menganjur program kesedaran awam mengenai pentingnya Hutan Simpanan Ulu Muda sebagai hutan tadahan air.

Fungsi hutan ini kepada Kedah penting terutama ketika musim kemarau bermusim, iaitu dari Disember hingga Mac setiap tahun. Beberapa agensi bukan kerajaan menjelaska­n hampir 4 juta rakyat bergantung kepada Sungai Muda berpunca daripada hutan ini. Antara pengguna terpenting ialah Lembaga Pembanguna­n Pertanian Muda (MADA) yang meliputi kawasan tanaman padi terluas di negara, iaitu lebih 100,000 hektar.

Banyak spesies flora dan fauna di Ulu Muda penting dan istimewa. Sebagai contoh, burung enggang belantara (Rhyticeros subruficol­lis) ialah spesies enggang kesepuluh dicatatkan di negara ini. Spesies hijrah berstatus lemah terancam (vulnerable) dalam Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Pemulihara­an Alam Sekitar Antarabang­sa (IUCN) ini hanya direkodkan di kawasan Ulu Muda dan Kompleks Hutan Belum-temenggor.

Menurut Yeap Chin Aik, penghijrah­an enggang belantara bermula dari tengah Thailand menuju ke selatan Thailand dan Kompleks Hutan Ulu Muda serta Belum-temenggor pada Mei sehingga Disember. Ini bermakna semua 10 spesies enggang Malaysia direkodkan di Ulu Muda, dua daripadany­a berstatus terancam, iaitu enggang berkedut dan enggang jambul putih serta lima lemah terancam (enggang belantara, enggang hitam, enggang gunung, enggang badak dan enggang papan), manakala enggang tebang mentua pula terancam teruk. Jumlah keseluruha­n spesies burung di situ ialah 305 atau hampir 37 peratus jumlah spesies burung di negara ini.

Ulu Muda juga ialah lokasi penemuan kali pertama spesies katak dinamakan katak licin (Theloderma licin) pada 2001. Sehingga kini, semakin banyak lokasi penemuan spesies ini seperti di Taman Negara Kuala Tahan; Taman Negara Khao Luang, Nakhon Si Thamarat, Thailand; Pulau Perhentian; Bau, Sarawak dan Sumatera, Indonesia. Penemuan spesies katak daripada genus Chirixalus juga dilaporkan pertama kali di Ulu Muda. Sebelum ini, taburan katak Chirixalus spp hanya di Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam.

Bilangan spesies mamalia pula mencecah 113, dengan beberapa spesies yang juga rentas sempadan seperti cerpelai ketam (Herpestes urva). Kebanyakan haiwan mamalia besar pernah direkodkan di Ulu Muda, termasuk harimau, seladang, kambing gurun, rusa, tapir dan gajah.

Kajian Dr Juliana Senawi di Ulu Muda mendapati hampir 20 peratus jumlah spesies kelawar hampir terancam seperti kelawar lubang kayu (Mops mops) dan kelawar muka lekok (Nycteris tragata) dijumpai di kawasan Hutan Ulu Muda.

Ulu Muda ialah kawasan hutan istimewa disebabkan beberapa faktor: Pertama, salah satu blok kawasan hutan terbesar di utara Semenanjun­g dan kedua, bersempada­n dengan Taman Negara Bang-lang/rizab Hidupan Liar Hala-bala di Thailand.

Ketiga, ia bertindan wilayah zoogeograf­i Pentas Sunda dan Indochina; keempat, memiliki kepelbagai­an biologi sangat tinggi dan keenam, satu-satunya kawasan tadahan air bagi seluruh bahagian utara Semenanjun­g.

Hutan Ulu Muda mempunyai kepelbagai­an biologi tinggi, mempunyai fungsi perkhidmat­an ekosistem penting dan hutan rentas negara strategik. Ia seharusnya diwartakan sebagai hutan perlindung­an atau Taman Negeri, bukan hanya sekadar hutan pengeluara­n.

 ??  ??
 ??  ?? Hutan Ulu Muda menjadi kawasan tadahan hujan penting bagi membekalka­n sumber air kepada negeri jelapang padi terbesar di negara ini.
Hutan Ulu Muda menjadi kawasan tadahan hujan penting bagi membekalka­n sumber air kepada negeri jelapang padi terbesar di negara ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia