Berita Harian

Keadaan terkawal, proses baik pulih enam bulan

Pihak berkuasa terus pantau pergerakan tanah di tebing anak Sungai Sering

- Oleh Faris Fuad faris.fuad@bh.com.my

Ampang: Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor mendapati pergerakan tanah masih berlaku di tebing anak Sungai Sering yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Jalan Kelab Ukay 4, Taman Kelab Ukay di sini, Sabtu lalu.

Ketua UPBN Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof, berkata bagaimanap­un, penduduk di kawasan sekitar tidak perlu bimbang kerana keadaan masih terkawal dan dipantau pihak berkuasa.

Katanya, perunding yang dilantik Majlis Perbandara­n Ampang Jaya (MPAJ) turut membuat kajian pergerakan tanah itu bermula hari ini bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Pergerakan tanah ada berlaku, tetapi penduduk tidak perlu bimbang kerana kawasan rumah yang lain berada dalam keadaan tidak berisiko berbanding kawasan rumah terjejas.

“Penduduk terjejas masih ditempatka­n di Hotel De Palma Ampang. Mereka boleh melawat rumah untuk ambil barang keperluan, namun tidak boleh bermalam.

“Kita akan mengambil langkah berjaga-jaga dan pemantauan dari semasa ke semasa dengan bantuan anggota polis dan MPAJ,” katanya ketika ditemui di kawasan tanah runtuh itu, semalam.

Ahmad Fairuz berkata, pihaknya menjangkak­an proses baik pulih sepenuhnya kawasan itu akan mengambil masa kira-kira enam bulan.

“Ketika ini, kerja pemasangan kepingan besi sebagai penghadang pergerakan tanah di tebing anak Sungai Sering berada pada tahap 30 peratus. Kita jangka esok siap sepenuhnya.

“Selepas itu, banyak proses lagi perlu dilakukan, termasuk membaiki longkang. Kami juga perlu pastikan tiada lagi berlaku pergerakan tanah,” katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 2 pagi itu, sebahagian cerun bukit di belakang rumah penduduk Jalan Kelab Ukay 4, kira-kira 50 meter ke anak Sungai Sering yang terletak di Jalan Mulia 1/1 Taman Bukit Mulia, runtuh susulan hujan berterusan.

Runtuhan itu mengakibat­kan pokok di tebing bukit berkenaan tumbang dan menggelong­sor. Tanah runtuh turut merosakkan longkang monsun sehingga menjejaska­n aliran anak Sungai Sering.

Tujuh rumah teres dua tingkat di situ turut terjejas menyebabka­n 40 penghuni daripada lima keluarga dipindahka­n atas faktor keselamata­n.

Pergerakan tanah ada berlaku, tetapi penduduk tidak perlu bimbang kerana kawasan rumah yang lain berada dalam keadaan tidak berisiko berbanding kawasan rumah terjejas.

Ahmad Fairuz Mohd Yusof, Ketua UPBN Selangor

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia