Berita Harian

Cabaran urus jenazah mangsa COVID-19

Ruzeeta timba pengalaman berbeza elak dijangkiti virus ketika bertugas

- Oleh Latifah Arifin latifah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Mengurus, memandi dan mengkafank­an jenazah yang meninggal dunia akibat wabak COVID-19, selain pernah melakukan perkara sama kepada mangsa MH-17, di Amsterdam selama 40 hari, antara pengalaman bukan calang-calang mampu dilakukan wanita yang memilih bidang ini.

Keberanian, kecekalan, ketahanan mental dan fizikal serta perlu sentiasa bersiap sedia berhadapan tugasan mengurus, memandikan jenazah dalam pelbagai bentuk, rupa dan keadaan sama ada mangsa kemalangan atau pesakit kronik lain adalah teras utama.

Itulah antara tanggungja­wab kakitangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutua­n (JAWI), Ruzeeta Saad, 46, yang dilalui sepanjang 20 tahun menggalas tugasan itu dalam memenuhi tuntutan agama.

Katanya, beliau bersyukur kerana berpeluang terbabit dalam bidang tugas yang dianggap mencabar dan digeruni wanita.

“Hukum mengurus jenazah adalah fardu kifayah dan fardu ain kepada semua individu untuk mempelajar­inya.

“Untuk tugasan terbaru, saya mengurus tiga jenazah wanita yang meninggal dunia akibat dijangkiti COVID-19 di Wilayah Persekutua­n,” katanya kepada BH.

Ruzeeta adalah seorang daripada lima kakitangan wanita bagi pasukan petugas untuk pengurusan jenazah COVID-19 di bawah JAWI.

Bercerita lanjut, pengalaman menguruska­n jenazah COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL), beliau berkata, cara mengendali­kan mayat pesakit itu memang berbeza daripada yang biasa dilakukan untuk mengelak dijangkiti wabak pandemik dunia ini.

Katanya, pengurusan tayamum dan solat jenazah hanya akan dilaksanak­an selepas proses pengecaman selesai dijalankan.

“Bagi proses pengecaman jenazah ini cuma seorang waris dibenarkan masuk dan mereka juga perlu memakai pakaian pelindung diri (PPE).

“Prosedur ini akan dipantau sepenuhnya oleh kakitangan hospital dan sejurus selesai proses pengecaman, barulah saya dibenarkan masuk melaksanak­an tayamum dan solat jenazah,” katanya.

Ruzeeta berkata, dalam keadaan itu jarang dapat berjumpa dengan keluarga mangsa COVID-19, memandangk­an proses perbincang­an dengan waris dikendalik­an sepenuhnya Unit Kesihatan Awam, HKL.

“Antara pengalaman saya sepanjang mengendali­kan kes COVID-19, ada antara keluarga atau waris terdekat tidak dapat menuntut jenazah disebabkan mereka berada dalam tempoh kuarantin.

“Sudah tentu ahli keluarga sangat sedih dengan berita kematian ini dan terpaksa jenazah dituntut oleh waris lain,” katanya.

Beliau berkata, pasukan pengurusan jenazah JAWI dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menguruska­n 42 jenazah mangsa COVID-19 iaitu 27 daripadany­a lelaki dan 15 wanita.

“Sepanjang wabak ini, tiga jenazah wanita mangsa COVID-19 yang saya uruskan kerana tugas berkenaan dilakukan secara bergilir-gilir bersama empat lagi pengendali jenazah yang lain.

“Hanya seorang petugas yang akan terbabit dalam proses tayamum. Selepas selesai tayamum, dua petugas lain akan melaksanak­an solat jenazah.

“Disebabkan angka kematian kes COVID-19 semakin berkuranga­n, jadi buat masa ini kami cuma bersedia untuk dipanggil termasuk ketika sepanjang hari raya,” katanya.

Malah Ruzeeta tidak ada masalah untuk bertugas jika diperlukan kerana beliau dan ahli keluarga yang lain akan beraya di Kuala Lumpur, selain suaminya juga dalam kalangan petugas barisan hadapan dan berkhidmat sebagai pemandu di HKL.

Mengulas mengenai kerjaya itu, katanya, tidak dinafikan khidmat pengurusan jenazah lebih tertumpu kepada petugas lelaki kerana mereka akan terbabit secara langsung daripada awal sehingga proses pengebumia­n.

“Petugas wanita hanya terbabit memandi hingga mengkafank­an jenazah (wanita) sahaja. Adakalanya, kami turut menjadi makmum solat jenazah,” katanya.

Beliau yang mula berkhidmat sebagai mubaligh di JAWI secara kontrak di HKL sejak tahun 2000, berkata antara bidang tugasnya adalah menguruska­n jenazah yang tidak dituntut, jenazah berisiko dan tidak berkemampu­an.

“Tugas menguruska­n jenazah mangsa COVID-19 memerlukan persediaan bukan sahaja dari segi mental tetapi ketahanan fizikal.

“Kami perlu mengambil langkah keselamata­n untuk diri sendiri seperti menjaga kesihatan dan mengamalka­n pengambila­n makanan tambahan yang boleh memberikan ketahanan diri seperti pengambila­n vitamin C dan makanan berkhasiat.

“Semua petugas juga dipantau dengan rapi oleh pihak hospital dan pusat perubatan. Mereka akan membantu dari aspek pemakaian PPE dengan betul mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan.

“Apa yang paling penting adalah berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata, dalam mendepani pelbagai cabaran sebagai pengurus jenazah, lima perkara yang sangat dititikber­atkan iaitu memastikan dirinya sentiasa lengkap dengan ilmu, sentiasa berani, tidak jijik, amanah dan ikhlas dalam mencurahka­n bakti.

Katanya, sebaik selesai menguruska­n jenazah COVID-19, perkara pertama dilakukan adalah terus memandi dan membersihk­an diri di hospital sebelum pulang ke rumah dengan mengikut semua SOP yang ditetapkan.

Menyentuh penerimaan keluargany­a, Ruzeeta bersyukur kerana suami, anak dan keluarga yang lain sangat memahami tuntutan serta cabaran dalam melangsaik­an tugas ini.

“Kerja saya tidak tentu masa siang dan malam. Antara pengalaman termasuk terbabit dengan pengurusan jenazah MH-17 di Amsterdam selama 40 hari.

“Saya bersyukur kerana suami yang bertugas sebagai anggota barisan hadapan memahami dan memberikan sokongan,” katanya.

Setiap kali ada panggilan untuk pengurusan jenazah COVID-19, beliau akan memohon kepada ahli keluarga terdekat supaya mendoakan keselamata­nnya dan petugas lain yang turut terbabit.

Ruzeeta berkata, orang ramai tidak sepatutnya gerun, sebaliknya menyaranka­n wanita mengambil inisiatif untuk mempelajar­i kaedah pengurusan jenazah.

“Jika belajar kita boleh menguruska­n jenazah ahli keluarga sendiri suatu hari nanti,” katanya.

Banyak surau, masjid dan jabatan agama Islam pada peringkat negeri menganjurk­an kursus pengurusan jenazah.

“Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan untuk mempelajar­i teknik pengurusan ini kerana hikmah, ganjaran dan pahalanya sangat banyak.

“Dengan mempelajar­inya, secara tidak langsung, kita akan mendapat penjelasan betul dalam pelbagai perkara khususnya membabitka­n isu yang sentiasa menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat, “katanya.

Sebelum ini, beliau tidak ada pengalaman langsung dalam bab pengurusan jenazah dan tidak pernah mengikuti sebarang kursus berkaitan dengannya.

Dulu masyarakat kurang diberi pendedahan mengenai pengurusan jenazah berbanding sekarang.

“Sekarang murid di sekolah rendah pun diberikan pendedahan cara pengurusan jenazah meliputi aspek teori dan praktikal,” katanya.

Katanya, atas galakan rakan sekerja yang banyak memberikan tunjuk ajar, lama-kelamaan beliau mula selesa dan tekad untuk menjalanka­n amanah ini sebaiknya.

“Pengalaman pertama saya adalah menguruska­n jenazah tidak dituntut yang berasal dari Indonesia di Jabatan Perubatan Forensik HKL.

“Sejak tugasan itu, saya sedar perlu memikul tanggungja­wab ini dengan sebaiknya, tidak kira jenazah itu sempurna atau sebaliknya, baharu atau lama, berwaris atau tidak dan seumpamany­a,” katanya.

Cara mengendali­kan mayat pesakit berbeza daripada yang biasa dilakukan untuk mengelak dijangkiti virus.

Ruzeeta Saad, Kakitangan JAWI

 ??  ??
 ??  ?? Ruzeeta (dua dari kiri) bersama kakitangan JAWI memakai pakaian pelindung diri sebelum menguruska­n jenazah pesakit COVID-19 bagi mengelak jangkitan virus.
Ruzeeta (dua dari kiri) bersama kakitangan JAWI memakai pakaian pelindung diri sebelum menguruska­n jenazah pesakit COVID-19 bagi mengelak jangkitan virus.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia