Berita Harian

Ringgit melonjak tinggi berbanding dolar AS

Pengukuhan hampir 1 peratus didorong kenaikan drastik PMI, harga minyak

- Oleh Mohd Zaky Zainuddin zaky@bh.com.my

Nilai ringgit melonjak tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan pengukuhan dagangan harian hampir 1.0 peratus kepada sekitar RM4.314 petang semalam didorong kenaikan drastik Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia dan peningkata­n harga minyak mentah global.

Ahli Ekonomi MIDF Research, Mazlina Abdul Rahman, berkata prestasi ringgit dilihat

akan terus bertambah baik dalam masa terdekat sejajar dengan pelonggara­n dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang mana hampir semua sektor dan aktiviti ekonomi termasuk perkilanga­n dibenarkan beroperasi.

“PMI dilihat akan terus meningkat secara beransur-ansur selaras dengan perkembang­an positif dalam langkah membendung COVID-19 namun, PMI dijangka ia kekal pada tahap penguncupa­n iaitu bawah 50 mata untuk masa terdekat ini.

“Harga minyak mentah dunia terus meningkat berikutan sentimen terhadap permintaan bertambah baik kerana perniagaan beroperasi semula di seluruh dunia.

“Faktor ini akan menyokong prestasi ringgit dalam jangka masa pendek,” katanya ketika dihubungi BH di Kuala Lumpur, semalam.

Ringgit berbanding dolar AS mencatatka­n paras tertinggi tahun ini iaitu RM4.052 pada 20 Januari lalu, dengan paras terendah pula adalah RM4.449 yang dicatatkan pada 23 Mac lalu. Turut mencatat semalam peningkata­n adalah Bursa Malaysia apabila ditutup tinggi kepada 1,490.14, naik 16.89 mata berbanding penutup Jumaat lalu.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meneruskan momentum meningkatn­ya minggu lalu dengan dibuka tinggi 1.61 mata kepada 1,474.86 berbanding 1,473.25 ketika ditutup pada Jumaat lalu.

Sementara itu, harga minyak sawit juga meningkat lebih 2.0 peratus kepada sekitar RM2,314 satu tan pada petang semalam.

PMI Pembuatan Malaysia bagi Mei 2020 naik dengan ketara kepada 45.6 daripada rekod terendah 31.3 pada April 2020.

PMI keseluruha­n IHS Markit adalah petunjuk angka tunggal komposit prestasi pembuatan.

Dalam satu kenyataan semalam IHS Markit berkata, sektor pembuatan Malaysia menunjukka­n tanda kestabilan pada pertengaha­n suku kedua, dengan kadar penguranga­n output, tempahan baharu dan pekerjaan semuanya berkurang.

Untuk tempoh jangka panjang, Mazlina berkata, MIDF Research menjangkak­an faktor seperti Pilihan Raya Presiden AS dan kestabilan politik dalam negara akan mempengaru­hi prestasi ringgit.

“MIDF Research menjangkak­an Ringgit pada tahap 4.25 berbanding dolar AS pada akhir tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, Nazarry Rosli, berkata pembukaan semula kebanyakan aktiviti ekonomi dunia dijangka mencetuska­n permintaan positif minyak mentah memberi kesan positif kepada ringgit.

“Harga minyak dunia yang meningkat telah membantu kenaikan ringgit. Berdasarka­n situasi semasa, saya menjangkak­an ringgit terus mengukuh pada jajaran 4.30 hingga 4.25 berbanding dolar AS,” katanya.

Berkongsi nada sama, Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee, berkata kenaikan ringgit pada sesi dagangan hari ini disokong pemulihan harga minyak dan momentum positif pasaran saham tempatan.

“Lonjakan nilai ringgit berbanding dolar AS disebabkan pemulihan harga minyak mentah selain turut disokong keadaan pasaran ekuiti Malaysia yang menunjukka­n aliran menaik. Namun, saya percaya ia adalah bersifat jangka pendek,” katanya.

Penganalis­is Kanan Pasaran Asia Pasifik OANDA, Jeffrey Halley, berkata ringgit dijangka didagangka­n tinggi berbanding dolar AS sepanjang minggu ini disokong data PMI yang melonjak di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Katanya, pasaran mata wang termasuk ringgit menerima sentimen menaik sejak dagangan pagi ini termasuk disokong kenyataan Trump yang menarik balik status khas Hong Kong atas undang-undang keselamata­n yang baru dikenakan China.

“Hari ini (semalam) kami menerima ‘longgokan’ PMI di mana seluruh pasaran Asia kecuali Jepun memiliki PMI yang positif termasuk Malaysia. Ia jelas memberi gambaran bahawa berlakunya pemulihan dalam aktiviti perdaganga­n dan lonjakan semula dalam aktiviti ekonomi pasca COVID-19 di rantau ini.

“Pemulihan ini turut memberi sokongan kepada pasaran saham dan mata wang di Asia termasuk di negara membangun seperti Malaysia,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? Nazarry Rosli
Nazarry Rosli
 ??  ?? Jeffrey Halley
Jeffrey Halley

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia