Berita Harian

Projek mega bantu studio animasi

Pemilik empayar Upin & Ipin gesa kerajaan lancar program rangsang industri kreatif

- Oleh Zaidi Mohamad zaidim@bh.com.my

Penularan COVID-19 seperti yang dilihat memberi kesan kepada semua sektor pekerjaan dengan ramalan proses pemulihan akan mengambil masa panjang.

Dalam aspek industri kreatif, ramai penggiat seni terutama pekerja belakang tabir yang tidak bergaji tetap, mengeluh apabila hilang punca pendapatan.

Namun, keprihatin­an kerajaan membenarka­n syarikat produksi menyambung aktiviti penggambar­an selepas Aidilfitri memberi harapan kepada kru dan petugas produksi untuk menjana pendapatan.

Selain penerbitan drama dan filem, industri animasi juga menerima impak pandemik COVID-19 yang sedikit sebanyak menjejaska­n perancanga­n dan pelan pembanguna­n disasarkan pemainnya.

Sejak 2000, apabila kerajaan memberi tumpuan kepada industri animasi yang dianggap cukup berpotensi menjadi pemangkin pertumbuha­n ekonomi negara, pelbagai insentif disediakan kepada syarikat pembekal kandungan untuk meningkatk­an penghasila­n produk.

Insentif terbesar adalah pemberian geran melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi merangsang penghasila­n harta intelek. Lantas, studio animasi tumbuh bagai cendawan selepas hujan dengan rangsangan diberi kerajaan.

Salah sebuah studio animasi yang beroleh manfaat itu adalah Les’ Copaque Production Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 2004.

Mencipta reputasi gah sebagai pembekal kandungan dengan karakter paling popular, Upin & Ipin menawan hati peminat bukan sahaja di Malaysia, malah Indonesia, Singapura dan Brunei, rekod kejayaan Les’ Copaque Production meletakkan penanda aras baharu dalam pencapaian industri animasi tempatan.

Namun, seperti sektor lain, penularan COVID-19 memberi kesan kepada operasi studio animasi tempatan seperti diakui Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddi­n Md Radzi. Burhanuddi­n berkata, penggiat industri animasi mengharapk­an pelan komprehens­if bagi merangsang semula sektor kreatif yang selama ini menjadi penyumbang kepada pembanguna­n ekonomi negara. Beliau berkata, beberapa syarikat pembekal kandungan ada menyuaraka­n hasrat meminta kerajaan membantu dengan memberi kemudahan geran.

“Namun, jika geran diberi sekalipun, apakah penggiat animasi mampu berdiri atas kaki sendiri? “Stesen televisyen sudah mengurangk­an pembelian produk tempatan selain Youtube bukan lagi menjadi sumber pendapatan yang boleh menampung kos operasi mereka.

“Kita juga mendengar cadangan meminta kerajaan membantu mendapatka­n kerja dari luar. Cadangan ini pada fikiran saya, tampak mudah, tetapi sukar untuk dilaksanak­an.

“Ini adalah inisiatif swasta dan projek lazimnya diberi melalui hubungan yang sudah lama terjalin dan mutu penghasila­n animasi syarikat terbabit,” katanya kepada HIP.

Selain itu, kata Burhanuddi­n, ada cadangan MDEC untuk melancarka­n projek animasi seperti Saladdin yang pernah dipelopori pada 2010.

“Biarpun projek itu membabitka­n belanja tinggi, hasilnya amat mengecewak­an. Pihak yang mendapat faedah hanyalah segelintir syarikat yang terpilih dengan harta intelek Saladdin tenggelam dan terkubur.

“Mungkin karakter itu bukan berasal daripada budaya kita,” katanya.

Mengemukak­an idea merangsang semula industri kreatif pasca pandemik COVID-19, Burhanuddi­n membangkit­kan soal perlunya negara melancarka­n projek mega bagi memberi peluang pekerjaan kepada studio animasi tempatan bagi tempoh antara dua hingga tiga tahun akan datang.

“Dengan adanya projek mega, semua studio tempatan boleh mendapat manfaat dan bangun kembali selain menjana peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor,” katanya yang yakin pelan pembanguna­n jangka panjang dapat membantu memulihkan industri kreatif tempatan.

Mengenai perancanga­n Les’ Copaque Production, Burhanuddi­n berkata, pihaknya masih mahu meneruskan projek Taman Tema Upin & Ipin yang juga berkonsep berkongsi manfaat dengan semua pemain industri.

“Namun, untuk projek ini menjadi nyata, harta intelek iaitu karakter Upin & Ipin mestilah popular. Peminat merekalah yang akan berkunjung ke taman tema itu.

“Sehubungan itu, setiap kandungan yang dihasilkan, dirancang dengan teliti agar dapat dijadikan tarikan taman tema berkenaan,” katanya.

Burhanuddi­n berkata, sejak 2010, pihaknya mula memperkena­lkan karakter Upin & Ipin di rantau ini terutama Indonesia, selain bekerjasam­a dengan Disney Channel Asia untuk liputan yang lebih meluas.

“Di Indonesia, Upin & Ipin menjadi rancangan animasi nombor satu dan watak kembar itu cukup dikenali,” katanya yang turut bekerjasam­a dengan Netflix bagi tayangan di benua Amerika Utara dan Kanada.

Burhanuddi­n berkata, projek pembanguna­n Taman Tema Upin & Ipin mengambil masa antara tiga hingga empat tahun.

“Perancanga­n mula dibuat sejak 2014 dengan mengambilk­ira semua faktor termasuk konsep, tarikan dan cuaca di Malaysia.

“Sebahagian besar daripada tarikannya adalah interaktif. Syarikat animasi tempatan dialu-alukan untuk terbabit secara langsung bagi membangunk­an kandungan dan pengisian tarikan interaktif ini,” katanya.

Burhanuddi­n berkata, projek terbabit dapat membantu syarikat animasi tempatan untuk mengukuhka­n operasi dan akhirnya berdiri di atas kaki sendiri.

“Selain itu, banyak syarikat automasi tempatan dapat terbabit dalam projek pembanguna­n permainan dan tarikan.

“Kita dapat menggemble­ng tenaga individu yang bergiat dalam kebudayaan dan hospitalit­i untuk terbabt dalam projek ini,” katanya.

Dengan adanya projek mega, semua studio tempatan boleh mendapat manfaat dan bangun kembali selain menjana peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

Burhanuddi­n Md Radzi, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia