Berita Harian

Taman asuhan hanya terima 50 peratus anak jagaan

-

Kuala Lumpur: Jumlah kanak-kanak yang boleh dihantar ke taman asuhan kanak-kanak (TASKA) akan dihadkan sekitar 50 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Anisa Ahmad, berkata jumlah anak asuhan perlu dikurangka­n separuh, bagi memudahkan pelaksanaa­n penjarakan sosial dan mengurangk­an risiko penularan jangkitan.

Sehubungan itu, katanya, pihak TASKA akan mengutamak­an anak-anak kepada petugas barisan hadapan dan ibu bapa yang kedua-duanya bekerja pada waktu sama, dalam tempoh PKPB.

“Pihak TASKA juga tidak melihat keperluan untuk asingkan anak petugas barisan hadapan kerana prosedur operasi standard (SOP) cukup ketat dan kami juga yakin dengan disiplin petugas barisan hadapan dalam memastikan mereka tidak menyebarka­n wabak kepada anak-anak.

“Buat masa ini, TASKA tiada masalah untuk laksanakan SOP kerana beberapa amalan seperti sanitasi dan nyah kuman sudah biasa dilakukan sebelum PKP lagi, perkara baharu cuma pemakaian topeng muka dan penjarakan sosial ketika tidur dan makan.

“Namun, beberapa TASKA belum bersedia untuk beroperasi atas faktor anak asuhan terlalu sedikit, selain ada yang mahu menunggu sama ada PKPB akan dilaksanak­an semula atau tidak selepas 9 Jun ini,” katanya kepada BH, semalam.

Beliau mengulas mengenai SOP dan kesediaan TASKA beroperasi selepas Menteri Kanan (Keselamata­n), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumka­n baki 6,696 TASKA di seluruh negara, dibenarkan beroperasi bermula semalam.

Anisa berkata, MKN dijangka akan mengeluark­an SOP baharu mengenai pengurusan TASKA, namun beliau dimaklumka­n tiada perubahan ketara berbanding SOP dikeluarka­n sebelum ini.

Selain mengehadka­n jumlah anak asuhan, katanya, SOP lain termasuk melarang ibu bapa dan kakitangan yang merentas negeri daripada terus menghantar anak bagi tempoh 14 hari.

“Mengikut peraturan sedia ada, ibu bapa perlu mengisytih­arkan jika ada melakukan perjalanan rentas negeri dan tidak boleh menghantar anak selama 14 hari. Peraturan ini juga terpakai kepada pengasuh yang merentas negeri,” katanya.

Ditanya sama ada TASKA sedia menjaga anak petugas barisan hadapan yang bekerja syif, Anisa berkata, ia sukar untuk dilakukan TASKA atas kekangan kewangan.

“Kami boleh sediakan pengasuh untuk petugas hospital yang bekerja syif, namun pengurusan hospital itu perlu menyerap pengasuh itu sebagai kakitangan mereka dan PPBM akan bantu dalam aspek pengurusan pusat asuhan dan pemantauan,” katanya.

Sementara itu, Anisa memohon kerajaan dapat menyelaras­kan prosedur dan syarat pembukaan TASKA dalam tempoh PKPB di seluruh negara, kerana ada negeri yang mengenakan peraturan berbeza.

“Ada negeri mensyaratk­an kakitangan TASKA menjalani ujian ‘swab’ yang memerlukan kos ratusan ringgit bagi satu ujian dan ada negeri yang tidak begitu ketat.

“Saya harap ada penyelaras­an peraturan. Jika diwajibkan ujian ‘swab’, kami harap kos boleh dikurangka­n memandangk­an majoriti pengusaha TASKA kini berdepan kekangan kewangan yang kritikal,” katanya.

 ?? (Foto Mahzir Mat Isa /BH) ?? Aktiviti kanak-kanak susulan pelaksanaa­n PKPB dengan mematuhi SOP ditetapkan di TASKA Permata DD, Sungai Buloh, Selangor.
(Foto Mahzir Mat Isa /BH) Aktiviti kanak-kanak susulan pelaksanaa­n PKPB dengan mematuhi SOP ditetapkan di TASKA Permata DD, Sungai Buloh, Selangor.
 ??  ?? Anisa Ahmad
Anisa Ahmad

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia