Berita Harian

Pindaan Akta 333 dalam proses dimuktamad­kan

Hukuman lebih berat, perketat paras nilai ambang pengaruh alkohol

- Oleh Ahmad Suhael Adnan ahmad.suhael@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pindaan Akta Pengangkut­an Jalan 1987 (Akta 333) yang akan mengenakan hukuman lebih berat kepada individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol, kini dalam proses untuk dimuktamad­kan.

Menteri Pengangkut­an, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pindaan itu membabitka­n Seksyen 41 hingga Seksyen 45, dengan mengenakan hukuman lebih berat serta mengetatka­n paras nilai ambang pengaruh alkohol dalam darah, nafas dan air kencing.

Katanya, kementeria­n juga akan memberi fokus untuk mendidik dan memberi kesedaran mengenai penting pemandu bertanggun­gjawab, yang memerlukan fungsi semua pihak untuk mendidik masyarakat sejak kecil mengenai keselamata­n jalan raya.

“Pindaan kepada Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta 333 dalam proses untuk dimuktamad­kan, sebelum dibentang kepada Kabinet dan Parlimen untuk kelulusan.

“Saya ingin menegaskan isu ini amat serius bagi Kementeria­n Pengangkut­an. Apa yang saya boleh katakan, hukuman lebih berat akan dikenakan kepada mereka yang disabit kesalahan mengikut Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta 333,” katanya dalam satu hantaran di Facebook kelmarin.

Ka Siong memaklumka­n, pihaknya mengadakan mesyuarat khas bersama agensi kementeria­n itu kelmarin, bagi membincang­kan secara terperinci mengenai cadangan pindaan Akta 333 membabitka­n kesalahan pemanduan di bawah pengaruh alkohol, dadah dan secara berbahaya.

Beliau turut mengingatk­an pengguna jalan raya untuk menjadi pemandu bertanggun­gjawab dan tidak memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau memandu secara berbahaya.

“Janganlah menggadaik­an keselamata­n dan nyawa sendiri, keluarga serta pengguna jalan raya lain,” katanya.

Insiden kemalangan membabitka­n orang awam dan anggota polis yang cedera serta maut akibat dilanggar pemandu mabuk semakin meningkat, memaksa kerajaan meminda Akta 333 bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 yang memperuntu­kkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabka­n kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkut­an Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Sementara itu, di Petaling Jaya, polis menahan empat lelaki kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah di lima lokasi sekitar daerah itu awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata suspek berusia 25 hingga 55 tahun itu ditahan dalam operasi bermula 10 malam hingga 2 pagi.

Empat individu yang ditahan itu didapati memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi daripada paras dibenarkan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 45 (a) 1 Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

“Tinjauan operasi dijalankan semalam jelas menunjukka­n masih ramai pengguna jalan raya mengambil minuman keras sebelum memandu atau menunggang kenderaan,” katanya.

Hukuman lebih berat akan dikenakan kepada mereka yang disabit kesalahan mengikut Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta 333.

Wee Ka Siong, Menteri Pengangkut­an

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia