Berita Harian

Peniaga homestay terjejas teruk, tukar status rumah sewa

-

Kuala Lumpur: Hampir tiada tempahan langsung hingga terpaksa menukar status homestay kepada rumah sewa, antara situasi dihadapi pengusaha penginapan itu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, susulan wabak COVID-19.

Bendahari Pertubuhan Penginapan Kediaman Pelanconga­n Malaysia (MARTA), Mohammad Azmir Zahir Bakar, berkata situasi semasa yang memberi kesan kepada sektor pelanconga­n, akhirnya mencetuska­n kesan domino kepada industri homestay.

Beliau berkata, bibit kesulitan dialami homestay atau inap desa, sama seperti industri perhotelan disedari sejak Mac lalu apabila tempahan berkuranga­n, manakala pembatalan meningkat pada saat akhir susulan pelaksanaa­n PKP.

Katanya, kebimbanga­n penularan COVID-19 dan pelaksanaa­n PKP, menyebabka­n ramai membatalka­n tempahan awal inap desa pada Mei lalu sempena cuti sekolah dan sambutan Aidilfitri.

“Kesannya memang teruk. Sekarang tempahan amat kurang, boleh dikatakan tidak ada sejak Mac lalu termasuk ketika cuti persekolah­an dan sambutan Aidilfitri, terutama susulan larangan rentas sempadan.

“Bagi menghadapi persekitar­an tidak dijangka pada masa depan, pengusaha kini kena tukar strategi selagi kerajaan tidak benarkan rentas sempadan kerana apa yang kami hadapi sama seperti pengusaha hotel alami.

“Dalam situasi sukar ini ada juga kebaikan apabila sesetengah pengusaha homestay menukar strategi kepada sewa jangka panjang” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Berkongsi pengalaman sukarnya sebagai pengusaha homestay, Mohammad Azmir, berkata beliau memberi harga menarik kepada petugas barisan hadapan dari luar yang bertugas di kawasan berhampira­n untuk memilih menginap di tempatnya.

Walaupun ketika ini pergerakan terbatas akibat COVID-19, beliau berkata, situasi itu harus dimanfaatk­an sebaik mungkin dengan menawarkan kemudahan kepada pihak berkenaan yang sedikit sebanyak membantu meneruskan kelangsung­an perniagaan.

Mengulas masa depan industri homestay negara pasca COVID-19, beliau berkata, dalam tempoh enam bulan dari sekarang, usaha menghidupk­an kembali industri berkenaan agak perlahan, selain memerlukan masa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia