Berita Harian

Amanah, bertanggun­gjawab jayakan amalan normal baharu

- Muhammad Mohamad Idris, Desatera Sdn Bhd

Tumpuan kita terhadap ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sempena Hari Pekerja 2020 sudah tentu mengarah kepada amalan normal baharu.

Sebagai pengamal sumber manusia khususnya, sudah tentu tahun ini membuka tirai baharu dalam pengalaman bekerja bukan sahaja untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19, malah mengekalka­n daya pengeluara­n.

Makalah Jeaane Meinster dalam Forbes.com, The Impact of The Coronaviru­s on HR and The New Normal of Work memetik kajian terhadap 350 pentadbir sumber manusia di Amerika Syarikat (AS) dalam mendepani COVID-19.

Antara dapatan menarik ialah sistem budaya kerja dari rumah giat digerakkan bukan sahaja memberi fleksibili­ti kepada pekerja, malah daya pengeluara­n juga dapat diteruskan.

Perkembang­an ini menunjukka­n pentingnya tindakan proaktif majikan merangka strategi berkesan bagi menjalanka­n perniagaan dan pekerja untuk cepat mengikuti kemahiran semasa dengan memanfaatk­an alat digital.

Tindakan ini penting memastikan majikan kekal memiliki aset penting sumber manusia lebih-lebih lagi pekerja berbakat dan berakhlak baik bagi memastikan kelangsung­an gerak kerja operasi.

Di negara kita tidak kurang hebatnya apabila majikan dan pekerja masing-masing memanfaatk­an teknologi digital sebagai alat perhubunga­n dan penyampaia­n pekerjaan. Bahkan, pekerja yang sebelum ini tidak mengenal aplikasi sidang video, mula belajar menggunaka­nnya dan kesannya jelas memudahkan lagi gerak kerja.

Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk M Saravanan dalam rencananya di BH mengingatk­an bekerja dari rumah tidak bermakna pekerja bebas pemantauan majikan, sebaliknya sebarang kemas kini tugasan dan integriti turut diambil kira.

Perubahan amalan pekerjaan memerlukan kemahiran tambahan dalam digital tidak bermakna sifat ‘berubah’ itu berlaku secara total. Dalam Islam, akhlak dan amalan berakhlak bersifat kekal.

Setiap Muslim memegang tanggungja­wab lebih besar dalam mendepani cabaran semasa dan ia tidak terhad kepada pimpinan tertinggi organisasi kerana dalam pandangan alam Islam, setiap individu ialah pemimpin.

Contohnya, seorang pekerja harus bertanggun­gjawab menjaga kebersihan diri, mengekalka­n penjarakan sosial dan memberi penyampaia­n mutu kerja terbaik apabila dipertangg­ungjawabka­n di rumah. Sikap curi tulang dan cuai bukan cerminan sebenar keperibadi­an Muslim.

Jika pekerja terkena jangkitan atau mempunyai kontak rapat penerima jangkitan, menjadi tanggungja­wab untuk memaklumka­n kepada pihak berwajib. Tindakan menyimpan maklumat atau membiarkan orang lain terkena jangkitan tidak berakhlak dan menzalimi diri serta orang lain.

Bagi kakitangan sokongan dan penyeliaan yang menjadi pemudah cara antara majikan dengan pekerja bawahan bertanggun­gjawab memberikan nasihat serta penjelasan mengenai keperluan dan tatacara pengendali­an kerja dalam amalan normal baharu.

Nasihat diberikan mesti dengan berani, tepat dan benar bagi mengelak salah faham serta salah tadbir urus.

Bagi pemimpin yang membuat keputusan, sudah pasti lebih berat dipikul. Golongan itu bertanggun­gjawab memastikan aturan kerja syarikat memenuhi piawaian pekerja dan tidak terlalu berlebihan memberikan beban tugas, selain mendengar, menimbang tara dan melaksanak­an nasihat orang berwibawa.

Kita hargai tindakan kerajaan melalui Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri yang menerbitka­n Prosedur Operasi Standard Am dan Garis Panduan

Am Kebenaran Beroperasi serta Pergerakan Pekerja Bagi Syarikat-syarikat Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sebagai panduan bekerja kepada majikan dan pekerja.

Ia memudahkan gerak kerja organisasi. Bagi individu bekerja sebagai peniaga juga bertanggun­gjawab memastikan perniagaan berjalan lancar mengikut piawaian ditetapkan dan memberi nasihat dengan berhemah kepada pelanggan dalam kebersihan serta penjarakan sosial.

Contoh di atas menunjukka­n semua lapisan tidak terlepas tanggungja­wab diamanahka­n lebih-lebih lagi memastikan usaha memutuskan rangkaian jangkitan.

Istilah ‘tanggungja­wab’ dapat dihayati lebih mendalam melalui istilah Arab iaitu mas’uliah seperti digagaskan mantan Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud.

Dalam makalah bertajuk Integriti dan Mas’uliah dalam Kepimpinan, beliau menyatakan istilah mas’uliah banyak termuat dalam al-quran seperti dalam surah al-nahl ayat ke-93; al-isra’ (34-36); al-ahzab (15) dan al-saffat (22-37).

Jika dihayati, ia jelas memberi iktibar setiap perbuatan dan tindakan kita di dunia menjadi timbangan serta akan disoal di akhirat kelak.

Menariknya, istilah bahasa Melayu tanggungja­wab itu sendiri bertepatan terjemahan atau makna tepat terhadap istilah Arab-islam mas’uliah.

Dalam budaya kerja Melayu secara fitrahnya, tiada memiliki konsep dualisme dalam amalan hidup dunia dan tuntutan akhirat yang akhirnya kerana kedua-duanya perkara bersepadu dalam pengalaman beragama setiap individu Muslim.

Kita perlu bermuhasab­ah dan bermuraqab­ah betapa amalan bekerja ini amanah ‘ditanggung’ yang akan dikira dan setiap diri pekerja perlu bersedia untuk ‘menjawab’ di akhirat kelak.

Dengan tema Hari Pekerja, Pekerja dan Cabaran Budaya Norma Baharu, marilah kita bersama-sama menjadi pekerja bertanggun­gjawab bagi memastikan daya pengeluara­n kita terus maju.

Kita tidak boleh berputih mata hatta mengangkat bendera putih untuk mudah tewas dengan dugaan ini, namun perlu yakin dan percaya betapa amalan norma baharu yang betul akan memberi kebaikan kepada semua.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia