Berita Harian

Pemandu lori kena penjara

-

Kuala Kangsar: Pemandu lori, Mohammad Lokman Mohammad Termizi, 30, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan melakukan khianat dan menceroboh masuk ke Istana Iskandaria­h, di sini, minggu lalu.

Susulan itu, Majistret Nurul Asyifa Redzuan, menjatuhka­n hukuman penjara dua tahun sembilan bulan kepada tertuduh bagi empat pertuduhan berkenaan, bermula pada hari pertama dia ditangkap, iaitu hari sama tertuduh melakukan empat kesalahan itu.

Berdasarka­n pertuduhan pertama, beliau didakwa melakukan khianat dengan merempuh pintu pagar Istana Iskandaria­h, Kuala Kangsar yang menyebabka­n kerugian kira-kira RM500 pada jam 7.40 pagi pada 25 Mei lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan itu memperuntu­kkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Tuduhan kedua, Mohammad Lokman didakwa melakukan penceroboh­an jenayah dengan memasuki kawasan istana berkenaan yang digunakan sebagai tempat kediaman dan simpanan harta-benda antara jam 7.40 pagi sehingga 8.15 pagi, iaitu kesalahan mengikut Seksyen 447 kanun sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak lebih RM3,000, atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau dalam waktu dan lokasi sama didapati memiliki sepucuk pistol tiruan tanpa lesen atau permit senjata yang boleh dihukum mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntu­kkan penjara tidak lebih setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa dengan niat menakutkan seorang penjawat awam menjalanka­n tugas, iaitu mengacukan objek menyerupai sepucuk pistol pada jam 8.15 pagi di tempat sama.

 ?? (Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri/bh) ?? Mohammad Lokman (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, semalam.
(Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri/bh) Mohammad Lokman (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia