Berita Harian

Ibu bapa dirayu lunas bayaran bas

Pengusaha bas sekolah dakwa bergantung penuh yuran bulanan

- Oleh Fahmy A Rosli fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pengusaha bas sekolah merayu kepada ibu bapa atau penjaga, terutama mereka yang berpendapa­tan tetap, supaya melunaskan bayaran pengangkut­an bulanan persekolah­an anak masing-masing walaupun sedikit.

Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof, berkata dengan cara itu dapat membantu pengusaha bas meneruskan hidup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu kerana pandemik COVID-19.

Beliau berkata, kebanyakan pengusaha bas sekolah tiada sumber pendapatan lain kerana bergantung sepenuhnya kepada yuran bulanan dibayar ibu bapa bagi menanggung komitmen, seperti melunaskan hutang dengan syarikat kredit, penyelengg­araan bas serta gaji pekerja.

Katanya, ibu bapa perlu membuat bayaran berdasarka­n persetujua­n rundingan pada awal tahun iaitu sebelum sesi persekolah­an bermula apabila mereka bersetuju membayar selama 11 bulan dengan pengecuali­an pada Disember kerana cuti sekolah.

“Bayarlah... saya sarankan kali terakhir atas dasar kemanusiaa­n, persahabat­an dan hubungan insan. Ibu bapa wajar prihatin kerana pengusaha bas sekolah seperti kami bergantung penuh kepada yuran bas sekolah. Itu sahajalah punca pendapatan kami.

“Kalau tak mampu bayar penuh sekali pun, bayarlah 50 peratus. Kalau tak mampu juga, bayarlah 30 peratus. Janji ada kesinambun­gan bayaran meskipun dalam perjanjian (ibu bapa) dikehendak­i bayar penuh, tetapi kami bertolak ansur.

“Sebagai pemandu bas sekolah sepenuh masa, sukar untuk melakukan pekerjaan lain untuk menjana pendapatan sampingan. Kalau ibu bapa tak bayar macam mana kami nak sara hidup?

“Mohon BPN (Bantuan Prihatin Nasional) pun ada yang tak dapat sebab macam-macam birokrasi. Percayalah, jika masalah ini berlanjuta­n, ia akan beri kesan besar kepada ibu bapa untuk cari bas sekolah pada masa depan,” katanya kepada BH.

Sementara itu, tinjauan BH di sekitar Batu Caves dan Gombak mendapati beberapa bas sekolah tersadai di bahu jalan berdekatan dengan sekolah.

Difahamkan, ketiadaan kawasan lapang untuk meletak bas menyebabka­n pemilik terpaksa berbuat demikian.

Kelihatan juga beberapa van sekolah diletakkan di kawasan hadapan rumah dipercayai pemilik kenderaan itu.

Presiden Persekutua­n Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat, berkata kesan PKP memaksa 30 peratus daripada kira-kira 10,000 ahlinya mencari kerja lain bagi menyara keluarga masing-masing.

Jelasnya, rata-rata golongan muda yang terpaksa berhenti membawa bas sekolah, memilih bekerja dalam sektor perkhidmat­an penghantar­an, namun secara separuh masa.

“Bagi kami sebagai pengusaha termasuk pekerja, terpaksala­h buat kerja lain. Bagi yang muda, ada yang jadi penghantar barang, makanan, pandu e-hailing dan sebagainya, manakala kebanyakan pemandu bas sekolah yang lanjut usia hanya duduk di rumah,” katanya.

Beberapa van sekolah

 ?? (Foto Mohamad Shahril Badri Saali/bh) ?? yang tidak beroperasi diletakkan di kawasan kediaman.
(Foto Mohamad Shahril Badri Saali/bh) yang tidak beroperasi diletakkan di kawasan kediaman.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia