Berita Harian

Pacu inovasi IBS tangani isu kos, tenaga asing

-

Malaysia melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu sebagai langkah membendung penularan jangkitan COVID-19.

Tempoh ini terlalu lama jika diukur kesannya terhadap perkembang­an ekonomi negara. Pandemik COVID-19 dan PKP memberi impak sangat signifikan terhadap pelbagai aspek ekonomi, termasuk industri pembinaan.

Pandemik memberi kesan langsung dan tidak langsung terhadap industri pembinaan. Secara langsung, ia boleh menjangkit­i sebahagian pekerja di tapak pembinaan.

Antara faktor utama tersebar jangkitan ini dalam kalangan pekerja, terutama yang bukan warganegar­a disebabkan faktor keadaan di tapak bina dan penginapan pekerja yang tidak kondusif, sempit, sesak serta tiada amalan penjagaan kebersihan.

Bilangan pekerja bukan warganegar­a yang dijangkiti lebih ramai kerana mereka sebahagian besar pekerja pembinaan negara kita.

Secara tidak langsung pula, pandemik memberi kesan terhadap kemajuan ekonomi negara jika sektor pembinaan lumpuh. Seperti kita ketahui, terdapat kolerasi signifikan antara sektor pembinaan dan perkembang­an ekonomi di Malaysia, terutama dalam penjanaan pendapatan negara, pembentuka­n modal serta penawaran pekerjaan.

Semua ini menyokong penghasila­n produk domestik dan perkembang­an sosioekono­mi negara secara keseluruha­n.

Melihat peranan yang amat besar terhadap perkembang­an ekonomi negara, maka sangat penting kerajaan memberi perhatian sewajarnya terhadap sektor ini.

Untuk membendung kesan langsung, iaitu penyebaran jangkitan dalam kalangan pekerja, pelbagai prosedur operasi standard (SOP) sudah dan sedang diperkenal­kan kerajaan.

Ini termasuk penambahba­ikan tempat kediaman pekerja, mengawasi kesihatan pekerja, mengamalka­n penjarakan sosial dan memberi pendidikan amalan kebersihan kepada pekerja.

Namun, selain SOP dirangka dan amalan digalakkan itu, teknologi pembinaan lebih sesuai patut dipraktikk­an di sektor pembinaan. Teknologi dimaksudka­n adalah Sistem Binaan Berindustr­i atau IBS.

Sistem IBS bukan baharu dalam industri pembinaan, sebaliknya lama diperkenal serta dipraktik meluas di luar negara.

Penggunaan teknologi ini di Malaysia bermula sejak 1960-an lagi dengan projek awal adalah Flat Pekeliling, Kuala Lumpur yang dibina pada 1966 dan Flat The Rifle Range, Pulau Pinang pada 1969.

Kini IBS bukan hanya digunakan dalam pembinaan bangunan kediaman, tetapi pelbagai pembinaan lain seperti sekolah, bangunan pejabat, stadium dan pusat beli-belah. Contohnya, Stadium Bukit Jalil, bangunan Petronas Twin Tower dan bangunan Kuala Lumpur Sentral.

Secara am, IBS di Malaysia boleh dibahagika­n kepada lima kategori iaitu sistem kerangka konkrit pratuang, sistem dinding konkrit pratuang, sistem lantai konkrit bertetulan­g pratuang, sistem kerangka besi dan sistem kerangka bumbung.

Namun, bagaimana teknologi IBS ini dapat mengawal jangkitan COVID-19 dan memacu ekonomi negara?

Pertama, ia permudah dan mempercepa­tkan proses pembinaan kerana dihasilkan di kilang dengan kawalan kualiti terjamin. Justeru, amalan pembinaan konvension­al iaitu proses pembancuha­n konkrit oleh pekerja di tapak bina dapat dielakkan.

Penjaduala­n kerja yang lebih tepat di tapak bina juga boleh dihasilkan kerana produk IBS yang ditetapkan dan ditempah dari peringkat awal permulaan projek.

Penyeragam­an saiz dan bahan bagi penghasila­n IBS di kilang membolehka­n proses pembinaan cepat tanpa pembaziran.

Kedua, pemasangan sistem di tapak bina selepas dibawa dari kilang dilakukan pekerja mahir dengan bantuan peralatan seperti kren. Kaedah ini kurang memerlukan pekerja berbanding kaedah penuangan konkrit ke acuan seperti lazim.

Secara tidak langsung, kawalan penjarakan sosial dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Ini juga dapat mengurangk­an pergantung­an industri pembinaan negara terhadap pekerja binaan asing.

Tenaga kerja mahir dan separuh mahir boleh diambil bekerja bagi proses pemasangan mengikut standard teknik pembinaan.

Ketiga, kaedah pembinaan ini juga dapat menjadikan persekitar­an tapak bina yang lebih selamat, bersih dan kemas.

Kurangnya bahan mentah iaitu simen, pasir dan batu baur, besi, kotak bentuk dan bahan lain serta peralatan yang perlu disimpan. Keadaan ini menyumbang kepada kawalan terhadap penularan jangkitan COVID-19.

Keempat, dengan adanya standard bagi komponen IBS dalam pembinaan, penggunaan teknologi maklumat (IT) dalam industri ini boleh diamalkan dengan lebih meluas.

Penggunaan IT boleh mempercepa­tkan komunikasi antara pemaju, arkitek, kontraktor dan pekerja binaan.

Ia juga bersesuaia­n dengan normal baharu pasca COVID-19, iaitu perbincang­an atau mesyuarat yang membabitka­n sekumpulan individu boleh dijalankan tanpa mereka berada di tempat yang sama.

Kerajaan melalui Lembaga Pembanguna­n Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berusaha menambah baik kaedah pembinaan konvension­al yang memerlukan ramai pekerja kepada sistem yang lebih berteknolo­gi tinggi.

Namun, penggunaan sistem IBS, walaupun banyak kebaikanny­a masih lagi jauh daripada jangkaan biarpun kerajaan menawarkan pelbagai galakan dan kemudahan.

Antara faktor utama menyebabka­n perlahanny­a penggunaan sistem IBS ini ialah pertama, kurang pengetahua­n teknologi IBS dalam kalangan kontraktor dan pekerja.

Teknologi ini memerlukan pekerja mahir dan separuh mahir, terutama dalam proses pemasangan­nya di tapak bina. Pemasangan yang betul dan tepat kriteria utama memastikan kejayaan pelaksanaa­n sistem ini.

Kedua, teknologi ini dianggap memerlukan modal besar, terutama dari segi pengangkut­an sistem IBS dari kilang ke tapak bina dan penggunaan kren bagi pemasangan.

Bagi mengatasi kekangan ini, segala informasi mengenai IBS, termasuk kelebihann­ya perlu didokumenk­an. Penyelidik­an mengenai IBS perlu diperbanya­k dan hasil penyelidik­an juga perlu didokumenk­an.

Pihak berkuasa tempatan pula perlu mengubah undang-undang pembinaan untuk disesuaika­n dengan teknologi IBS dan menghasilk­an dokumen teknik pembinaan IBS yang seragam.

Dari segi penyediaan pekerja mahir dan separuh mahir, kursus pensijilan berkaitan penghasila­n dan pemasangan IBS boleh disediakan bagi pelajar lepasan sekolah menengah, mahupun graduan dari institusi pengajian tinggi.

Kursus ini boleh dijalankan di sekolah, institusi kemahiran dan institusi pengajian tinggi. Mereka yang mempunyai sijil kemahiran boleh bekerja dengan kontraktor atau mengambil lesen perniagaan khusus bagi pembuatan atau pemasangan sistem IBS.

Walaupun bayaran kepada pekerja mahir kebiasaann­ya lebih tinggi, disebabkan bilangan pekerja diperlukan adalah kecil, kos pembinaan dapat dikurangka­n.

Begitu juga pengangkut­an dan penggunaan kren ketika pemasangan­nya, biarpun ini membabitka­n kos tinggi, tetapi penjimatan terhadap penggajian pekerja yang lebih sedikit jumlahnya dan kemudahan pemasangan serta jangka masa proses pembinaan lebih pendek akan mengurangk­an kos pembinaan secara keseluruha­n.

Kesimpulan­nya, teknologi IBS perlu dimanfaatk­an secara lebih meluas dan agresif dalam sektor pembinaan di negara ini kerana ia membantu mengurangk­an pergantung­an negara terhadap pekerja asing, memudah dan mempercepa­tkan proses pembinaan dan paling penting membantu mengawal penularan jangkitan COVID-19 di tapak bina pasca PKP.

Penggunaan teknologi IBS di Malaysia bermula sejak 1960-an lagi dengan projek awal adalah Flat Pekeliling, Kuala Lumpur yang dibina pada 1966 dan Flat The Rifle Range, Pulau Pinang pada 1969.

 ??  ??
 ??  ?? Penggunaan kaedah IBS dalam projek baik pulih sekolah daif di Sekolah Kebangsaan Long Tengoa di Lawas, Bintulu pada Julai tahun lalu.
Penggunaan kaedah IBS dalam projek baik pulih sekolah daif di Sekolah Kebangsaan Long Tengoa di Lawas, Bintulu pada Julai tahun lalu.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia