Berita Harian

‘Terima kasih bantuan PRIHATIN’

Lima penerima berpeluang interaksi santai secara maya bersama PM

- Oleh Mahanum Abdul Aziz mahanum_aziz@bh.com.my

Putrajaya: Penerima bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berpeluang berinterak­si secara santai bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui platform video maya semalam.

Interaksi menerusi platform digital itu diadakan sempena lawatan kerja rasmi Perdana Menteri ke Unit Pelaksanaa­n dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) di Kementeria­n Kewangan bagi meninjau operasi serta status pelaksanaa­n langkah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020); PRIHATIN dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Penerima yang ditemu bual itu ialah pasangan suami isteri popular Youtube yang menggunaka­n nama ‘Sugu Pavithra’, M Sugu dan isterinya, S Pavithra; pemilik perniagaan pengangkut­an barangan pengguna di Tamparuli, Sabah, Michael Lo Vun Leong; pemilik hotel bajet di Kuantan, Pahang, Pajan Singh Kirpal Singh; pemandu teksi, Ahmad Rusdi Mat Daud dan pengusaha perniagaan kambing perap, Rosnizam Ishak.

Kelima-lima penerima bantuan PRIHATIN yang ditemu bual itu gembira dapat berinterak­si secara langsung secara maya dengan Perdana

Menteri dan mereka mengucapka­n terima kasih atas bantuan kerajaan yang disediakan di bawah PRIHATIN dalam meringanka­n beban dalam menghadapi impak penularan COVID-19.

Pasangan sensasi Youtube masakan ayam varuval yang berasal dari Sungai Siput, Perak, M Sugu, 29 dan isterinya S Pavithra, 28, mengambil peluang sesi berkenaan untuk mengucapka­n terima kasih kepada kerajaan dengan bantuan kewangan one-off Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan sumbangan barang keperluan daripada Perdana Menteri yang membolehka­n mereka meneruskan minat memasak.

Perdana Menteri sempat mengusik pasangan sensasi itu dengan bertanya: “Bila mahu belanja saya makan nasi briani kambing.”

Pasangan itu menyatakan kelegaan mereka apabila bantuan BPN itu meringanka­n beban mereka terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berasal dari Sungai Siput, Perak, pasangan itu berhasrat membuka restoran sendiri. Saluran Youtube ‘Sugu-pavithra’ kini mempunyai lebih 600,000 pengikut.

Bagi Michael Lo, 45, yang menerima bantuan mikro PRIHATIN Bank Simpanan Nasional (BSN), beliau mahu menjadikan bantuan itu sebagai suntikan modal pusingan dan membayar gaji pekerja.

Beliau berkata, perniagaan­nya terjejas kerana tidak dapat beroperasi dalam tempoh PKP.

Dalam interaksi santai itu, Perdana Menteri juga mengucapka­n selamat maju jaya kepada penerima manfaat di bawah PRIHATIN itu dan berharap mereka berjaya mengembang­kan perniagaan pada masa depan.

Rosnizam, 43, pula menggunaka­n dana BPN untuk memulakan perniagaan kambing perap setelah kedai makan yang diusahakan­nya sejak 2015 terjejas sewaktu PKP hingga terpaksa ditutup akibat perniagaan merosot selain pekerja tidak hadir bekerja atas faktor keselamata­n.

Kesan daripada PKP itu, katanya beliau dan isterinya mendapat idea perniagaan baharu yang bersesuaia­n dengan kebiasaan baharu dengan memilih mengusahak­an perniagaan kambing perap sejuk beku.

“Musibah telah menjadi hikmah. Perniagaan kambing mendapat sambutan luar jangkaan. Penggunaan 100 peratus media sosial telah memulihkan ekonomi kami,” kata Rosnizam yang berasal dari Bertam, Pulau Pinang, sambil menambah BPN itu diberikan tepat pada masanya.

Rosnizam berkata usahanya tidak terhenti di situ sahaja kerana perniagaan itu turut membuka peluang kepada orang lain dengan menjadi ejen dan penghantar kambing perap untuk menampung pendapatan semasa PKP.

Pemandu teksi di Lembah Klang, Ahmad Rusdi, 52, yang terkesan ketika PKP berkata bantuan one-off RM600 untuk pemandu teksi dan BPN sebanyak RM1,600 telah membantu meringanka­n bebannya.

Berkongsi kesukaran ketika PKP, Ahmad Rusdi berkata pendapatan­nya begitu terjejas dan ketika itu amat sukar untuk mendapat RM20 walaupun bekerja sehingga 13 jam.

Turut berinterak­si dengan Perdana Menteri ialah Pajan Singh, 55, pemilik hotel bajet di Kuantan, Pahang yang menerima bantuan subsidi upah dan moratorium pinjaman bank.

 ?? (Foto Mohd Fadli Hamzah/bh) ?? Muhyiddin (kiri) berinterak­si dengan penerima bantuan PRIHATIN menerusi panggilan video yang turut dihadiri Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali di Putrajaya, semalam.
(Foto Mohd Fadli Hamzah/bh) Muhyiddin (kiri) berinterak­si dengan penerima bantuan PRIHATIN menerusi panggilan video yang turut dihadiri Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali di Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia