Berita Harian

Benarkan penjaga warga emas bekerja dari rumah

-

Semua perkhidmat­an kerajaan mula beroperasi sepenuhnya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa 10 Jun lalu.

Selaras arahan Jabatan Perkhidmat­an Awam (JPA), kehadiran pekerja ke pejabat diwajibkan secara berperingk­at dengan mengimbang­i keperluan itu dan kemudahan bekerja dari rumah atau WFH.

Ironinya, kelonggara­n ini tidak dipanjangk­an kepada pekerja yang menjaga warga emas yang mengidap penyakit kronik dalam tempoh PKPP ini.

Berdasarka­n pemerhatia­n, hampir semua institusi kerajaan atau mungkin tiada satu pun institusi, menyenarai­kan secara jelas penjagaan warga emas sebagai antara kriteria tanggungan atau kes yang perlu diberi pertimbang­an majikan untuk kebenaran WFH atau tidak sepenuhnya hadir bekerja sepanjang minggu.

Kebanyakan alasan diberikan majikan ialah penjagaan warga emas tidak disenaraik­an dalam pekeliling JPA. Dalam Arahan Ketua Pengarah Perkhidmat­an Awam Bilangan 2 Tahun 2020, empat kategori disenaraik­an untuk pertimbang­an WFH dan tidak disenarai penjagaan warga emas dalam kalangan pekerja.

Berdasarka­n kenyataan media dan laporan Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM), warga emas adalah kumpulan berisiko tinggi untuk terdedah jangkitan COVID-19, terutama yang mengidap penyakit kronik. Malangnya statistik kematian warga emas tinggi akibat COVID-19 dan kebimbanga­n sering disuarakan, tidak diterjemah sebaiknya oleh kebanyakan majikan dan JPA amnya melalui arahan bekerja dalam tempoh masa ini.

Menerusi beberapa kenyataan Ketua Pengarah KKM, beliau menyeru mereka yang menjaga warga emas berperanan penting memastikan kelompok itu tidak terdedah jangkitan COVID-19. Namun, pekerja yang menjaga warga emas yang keluar setiap hari untuk bekerja boleh meningkatk­an risiko jangkitan.

Saranan KKM seharusnya menjadi panduan majikan dalam mengimbang­i tuntutan bekerja dan menjaga kesihatan pekerja serta keluarga mereka secara menyeluruh.

Oleh itu, menjadi kewajaran majikan memberikan kelonggara­n WFH kepada pekerja yang menjaga warga emas secara bergilir. Perlu dipertimba­ng bahawa masyarakat kita kebanyakan­nya masih memilih untuk menjaga warga emas secara tidak formal.

Hal ini turut dipengaruh­i akses kepada perkhidmat­an penjagaan, aspek keselamata­n dan kualiti pusat jagaan, di samping memelihara nilai kekeluarga­an dan tanggungja­wab terhadap keluarga.

Ahli keluarga yang menjaga warga emas berhadapan tuntutan pelbagai peranan dan tanggungja­wab dalam rumah tangga, di tempat kerja dan komuniti. Akses terhadap perkhidmat­an penjagaan warga emas yang menghidap penyakit kronik dan kurang upaya di luar sistem perkhidmat­an kesihatan di hospital dan klinik kerajaan masih terhad serta membabitka­n kos tinggi, terutama sektor swasta.

Penjagaan warga emas yang uzur dan kurang upaya, bersifat intensif dan tidak boleh dijangka. Tanpa sokongan kerajaan mahupun majikan, penjaga warga emas yang bekerja sepenuh masa mungkin terpaksa bergantung harap kepada ahli keluarga lain ataupun ihsan jiran tetangga.

Beberapa kajian kualitatif oleh pengkaji tempatan menyingkap situasi di mana warga emas terpaksa ditinggalk­an sendirian di rumah ketika anak keluar bekerja. Dalam situasi wabak masih dalam komuniti, anak yang pulang ketika waktu rehat untuk menjenguk keadaan warga emas ditinggalk­an di rumah perlu melaksanak­an proses sanitasi setiap kali ingin memberi makan atau menukar lampin warga emas.

Konflik tuntutan kerja dan penjagaan mempengaru­hi kualiti hidup warga emas apabila terlewat diberi makan atau ubat-ubatan, lambat ditukar lampin atau dibawa ke tandas. Bebanan peranan ini memberi kesan besar kepada penjaga dari segi tahap kesihatan fizikal dan mental serta menjejaska­n produktivi­ti bekerja.

Justeru, dalam menuju negara tua menjelang 2030, tanggungja­wab menjaga warga emas dalam kalangan pekerja seharusnya dijadikan perkara atau aspek dipertimba­ngkan dalam menjaga kebajikan pekerja, sama seperti tanggungja­wab kepada anak di bawah tanggungan pekerja.

Kelonggara­n WFH melalui sistem penggilira­n dapat dimanfaatk­an penjaga dan mengurangk­an risiko warga emas daripada terdedah jangkitan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia