Berita Harian

Penyedia perkhidmat­an gig berdaftar layak mohon Penjanagig

-

Kuala Lumpur: Program Penjanagig dikendalik­an Pertubuhan Keselamata­n Sosial (PERKESO) layak kepada semua platform penyedia perkhidmat­an ekonomi gig yang mendaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata sejak 1 Januari lalu terdapat 28,425 pekerja ekonomi gig yang berdaftar dengan pertubuhan itu dan mengikut anggaran MDEC, ia hanya mewakili tujuh peratus daripada kira-kira 400,00 individu terbabit dengan aktiviti itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, PERKESO berharap lebih ramai pekerja ekonomi gig mendapat perlindung­an keselamata­n sosial menerusi Program Penjanagig kerana mereka terdedah kepada pelbagai risiko berkaitan pekerjaan sendiri.

“Antara syarat kelayakan untuk bantuan Penjanagig termasuk bekerja secara aktif di bawah platform penyedia ekonomi gig yang berdaftar dengan MDEC.

“Antara faedah disediakan ialah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, pengurusan mayat, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan faedah pendidikan.

“Platform penyedia perkhidmat­an boleh berdaftar di bawah Program Penjanagig melalui gig.perkeso.gov.my. Permohonan dan bayaran caruman boleh dibuat bermula 15 Jun lalu hingga 31 Disember 2021,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Dana padanan caruman platform ekonomi gig diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini dengan kerajaan memperuntu­kkan geran RM50 juta dalam bentuk dana padanan bagi platform ekonomi gig.

Mohammed Azman Aziz Mohammed

Dana itu untuk membiayai caruman pekerja ekonomi gig di bawah Skim Keselamata­n Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO dan Skim i-saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pekerja ekonomi gig adalah mereka yang menjalanka­n sesuatu tugas atau kerja melalui platform penyedia perkhidmat­an dalam talian atau aplikasi digital untuk mendapat upah seperti Grabcar, Foodpanda, Lalamove, Bungkusit dan sebagainya.

Antara sektor mewakili pekerja ekonomi gig adalah pengangkut­an penumpang e-hailing, pengangkut­an makanan dan barangan serta perniagaan dalam talian.

Pada masa sama, Mohammed Azman berkata, menerusi program Penjanagig PERKESO, pekerja ekonomi gig mendapat perlindung­an keselamata­n sosial di bawah Pelan 2 dengan caruman RM232.80 secara percuma selama setahun.

Katanya, melalui program itu, kerajaan membiayai 70 peratus bayaran caruman, manakala baki 30 peratus oleh platform penyedia perkhidmat­an.

“Ini bermakna kerajaan menyumbang RM163 daripada caruman setahun Pelan 2 SKSPS di bawah Akta Keselamata­n Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, manakala platform penyedia perkhidmat­an menyumbang RM69.80,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia