Berita Harian

Adik Ahmad Zahid beli dua banglo RM5.9 juta

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, diberitahu adik kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, iaitu Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi membeli dua banglo di Country Heights, Kajang bernilai RM5.9 juta menerusi cek Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-57, Pengarah Bee Garden Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Lee Kim Tiong @ Lee Kim Yew, 65, berkata cek itu untuk pembayaran penyelesai­an jualan bagi dua banglo setingkat milik syarikatny­a, yang dijual kepada Yayasan Al-falah yang Mohamad Nasaee adalah pengerusi lembaga pemegang amanah yayasan berkenaan.

Beliau berkata, dua banglo yang dibeli menerusi sekeping cek bertarikh 4 Januari 2017, itu ada kaitan dengan hal keagamaan kerana lokasinya berdekatan surau.

“Datuk Eric ada memberitah­u pihak yang mahu membeli (banglo) ada kaitan dengan keagamaan, tetapi saya tidak pasti kesahihann­ya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan ketika pemeriksaa­n balas peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Ahmad Zaidi: Tadi Tan Sri (Kim Tiong) beritahu kenal Datuk Zahid (Ahmad Zahid). Adakah Tan Sri tahu, Yayasan Al-falah yang membeli lot banglo ini ada kaitan dengan Datuk Zahid? Kimtiong: Saya tahu

Ahmad Zaidi: Tan Sri tahu atau tak, lot itu akan ditukarkan untuk tujuan keagamaan, tahfiz atau pun sekolah agama Islam?

Kim Tiong: Saya tak tahu dia tukar ke apa, tetapi saya memang tahu, bila mereka (Yayasan Al-falah) beli tanah ini, kerana banglo itu dekat dengan surau dan ada kaitan pembelian tanah ini dengan surau berkenaan.

Kim Tiong yang juga pengasas dan pengerusi Country Heights Holdings Berhad turut bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa dua unit banglo yang asalnya rumah contoh dijual pada bawah harga pasaran kerana keadaannya tidak terurus akibat lama tidak berpenghun­i.

“Kedua-dua rumah itu dijual pada 2017 dengan harga RM150 sekaki.

“Saya bersetuju menjual satu lot pada harga RM3,022,500, kemudian dilaraskan menjadi RM3 juta, manakala satu lagi pada harga RM2,885,250 kemudian dilaraskan menjadi RM2.9 juta,” katanya.

Ahli perniagaan itu berkata, perjanjian urusan jual beli ditandatan­gani olehnya dan seorang lagi pengarah Bee Garden Holdings, Nik Hassan Nik Mohd Amin bagi pihak penjual, manakala Mohamad Nasaee sebagai wakil pihak pembeli.

Ketika pemeriksaa­n semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi, saksi itu bersetuju dengan cadangan penguranga­n harga dibuat terhadap penjualan banglo itu tidak ada kena mengena dengan faktor dekat dengan surau seperti dibangkitk­an pembelaan.

Dalam pertuduhan pengubahan wang haram ke-26, Ahmad Zahid didakwa memberi arahan dalam pembelian dua rumah jenis banglo bernilai RM5.9 juta menggunaka­n cek milik Tetuan Lewis & Co.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadany­a membabitka­n pecah amanah (CBT) dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Lee Kim Tiong

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia