Berita Harian

1.7 bilion penduduk dunia risiko dijangkiti

Hampir 440,000 mangsa maut gelombang pertama virus

-

London: Sekitar 1.7 bilion atau 20 peratus penduduk dunia berdepan risiko dijangkiti COVID-19 disebabkan masalah kesihatan seperti obesiti dan penyakit jantung.

Sehingga kini, gelombang pertama virus itu membunuh hampir 440,000 mangsa di seluruh dunia dan bakal memberi kesan lebih teruk kepada mereka yang menghidap penyakit berbahaya.

Pakar di London School of Hygiene and Tropical Medicine yang menganalis­is data global penyakit berbahaya seperti diabetes, sakit paru-paru dan HIV, menjangkak­an potensi serius pesakit terbabit dijangkiti COVID-19.

Mereka mendapati satu daripada lima orang berdepan risiko itu, malah kira-kira empat peratus penduduk global atau 350 juta penduduk boleh dijangkiti serta memerlukan rawatan hospital.

Salah seorang yang membuat kajian itu, Andrew Clark, berkata ketika ini banyak negara tidak melaksanak­an perintah berkurung dan kerajaan mencari jalan melindungi mereka yang berisiko dijangkiti wabak.

“Ia termasuk menasihatk­an orang yang berdepan masalah kesihatan untuk mengamalka­n penjarakan sosial sesuai dengan risiko kesihatan mereka,” katanya.

Tambah Clark, hasil kajian itu mampu membantu kerajaan membuat keputusan siapa yang harus menerima vaksin COVID-19 terlebih dahulu jika ia ditemui.

Malah, kajian menunjukka­n warga emas paling berisiko berdepan masalah kesihatan akibat virus itu, namun kurang lima peratus individu bawah 20 tahun menghadapi risiko sama berbanding dua pertiga mereka yang berusia lebih 70 tahun.

Negara dengan kepadatan penduduk kecil juga berisiko dijangkiti COVID-19, umpamanya kepulauan seperti Fiji dan Mauritius yang mempunyai kadar diabetes agak tinggi.

Negara yang mempunyai ramai pesakit HIV atau AIDS seperti eswatini dan Lesotho juga perlu berwaspada. AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia