Berita Harian

Projek Oscar dilancar

Kerajaan sasar 10 hingga 20 tahun bawa filem tempatan ke anugerah berprestij

- Oleh Farihad Shalla Mahmud dan Serimah Mohd Sallehuddi­n bhhip@bh.com.my

Kerajaan komited membawa filem tempatan ke peringkat global melalui Projek Oscar dengan sasaran tempoh antara 10 hingga 20 tahun untuk merealisas­ikannya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata usaha itu tidak mustahil dicapai dengan menjadikan contoh filem dari Korea, Parasite yang memenangi Anugerah Akademi, Februari lalu.

Mengakui beliau bukanlah menteri pertama memasang impian itu, namun, katanya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) harus memulakan gerak kerja termasuk menyediaka­n bajet dan strategi jangka panjang dengan menjadikan India dan Korea Selatan, sebagai inspirasi.

“Korea Selatan mengambil masa 30 tahun untuk menembusi Oscar. Jadi, FINAS harus memulakan gerak kerja dari sekarang.

“Bila dan bagaimana untuk mencapainy­a, ia terpulang kepada FINAS untuk melaksanak­annya,” katanya pada sidang media selepas melawat Kompleks FINAS di Petaling Jaya, semalam.

Turut hadir, Pengerusi FINAS, Zakaria Abd Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Saifuddin memberi contoh situasi sama dalam misi negara meraih pingat emas pada Sukan Olimpik.

“Sebelum ini, kita tidak menyangka negara mampu meriah pingat emas kerana mustahil dicapai. Tetapi siapa sangka negara kita juga mampu,” katanya sambil menambah dana khas bagi Projek Oscar juga disediakan.

Pada sidang media itu, Saifuddin turut menggarisk­an tiga pelan harus dicapai FINAS dalam melaksanak­an fungsi sebagai pemangkin industri filem tanah air.

Saifuddin meminta FINAS membangunk­an industri filem, syarikat produksi dan bakat berpotensi untuk ‘dijual’ ke pasaran antarabang­sa.

“FINAS harus melihat secara holistik dari segi pembanguna­n rumah produksi dan bakat seperti pelakon serta penulis skrip yang ada nama.

“Namun, mereka masih belum sampai ke Projek Oscar, tetapi boleh dipertingk­atkan lagi. Selain itu, kategori khas iaitu penghasila­n filem yang menyuntik semangat patriotism­e turut digariskan.

“Contohnya, filem dari Libya berjudul Omar Mukhtar yang diterbitka­n pada 1981 bagi rakyat negara itu. Filem itu berunsur patriotik tetapi bagi penonton asing, ia lambang menentang penjajah.

“Tahun ini adalah ulang tahun ke-50 Rukun Negara, mungkin ia boleh memberi inspirasi kepada penerbit menghasilk­an lebih banyak filem berunsur sedemikian,” katanya.

Ditanya adakah kementeria­n akan menggunaka­n geran sedia ada untuk merealisas­ikan Projek Oscar, Saifuddin berkata, FINAS tidak akan menggunaka­n manamana geran yang ada.

Sebaliknya, beliau berkata, geran itu hanya digunakan untuk membaik pulih industri filem dan drama.

Saifuddin menyasarka­n enam bulan untuk pelan pemulihan industri yang terjejas akibat pandemik itu.

Korea Selatan mengambil masa 30 tahun untuk menembusi Oscar. FINAS harus memulakan gerak kerja dari sekarang. Bila dan bagaimana untuk mencapainy­a, terpulang kepada mereka.

Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia

 ??  ?? Saifuddin (kiri) diiringi Zakaria melawat FINAS di Petaling Jaya, semalam.
Saifuddin (kiri) diiringi Zakaria melawat FINAS di Petaling Jaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia