Berita Harian

Sarri buru trofi sulung bersama Juventus

-

Milan: Maurizio Sarri akan berdepan kelab lamanya, Napoli pada final Piala Itali awal pagi esok dengan sasaran mencari trofi pertama sebagai jurulatih Juventus sehari sebelum Serie A bersambung selepas terhenti selama tiga bulan.

Juventus yang memburu rekod selepas kemenangan 14 kali Piala Itali, berdepan juara lima kali, Napoli di Rome selepas empat kemenangan gergasi dari Turin itu ditamatkan musim lalu.

Sarri mengambil alih jawatan itu di Juventus setahun lalu selepas semusim di Chelsea ketika kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menang Liga Europa.

Sebelum itu, pengendali berusia 61 tahun itu menghabisk­an tiga musim bersama Napoli, bertarung dengan Juventus bagi merebut gelaran sebelum bertelagah dengan pemilik kelab, Aurelio De Laurentiis.

Sarri mendakwa dia hanya mengetahui dirinya dipecat dan digantikan oleh Carlo Ancelotti apabila menonton siaran televisyen.

De Laurentiis Isnin lalu membidas bekas jurulatih itu.

“Dia (Sarri) membelot saya, dia meninggalk­an kelab dengan pelbagai alasan berkaitan wang, memaksa saya berubah, dan masih memiliki kontrak dua tahun,” kata De Laurentiis kepada Corriere dello Sport.

Kepulangan Sarri ke Stadio San Paolo di Napoli berakhir dengan kekalahan 2-1 dalam aksi liga Januari lalu.

Namun, bekas pengendali Chelsea itu akan memperoleh satu lagi peluang meraih trofi kedua dalam karier selama 30 tahun di Stadio Olimpico.

Kemenangan akan membantu juara bertahan lapan kali Serie A itu menentukan rentak seterusnya apabila saingan merebut gelaran bersambung minggu depan dengan Lazio hanya satu mata di tangga kedua. AFP

 ??  ?? Maurizio Sarri
Maurizio Sarri

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia