Berita Harian

Arteta bimbang aksi tanpa ‘pemain’ ke-12

-

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui pemainnya perlu mencari motivasi tanpa pertolonga­n penyokong apabila Liga Perdana Inggeris (EPL) bersambung awal pagi esok.

Skuad kendalian Arteta akan bermain pada perlawanan kedua liga menentang Manchester City di Stadium Etihad, hanya sejam selepas perlawanan pembukaan antara Aston Villa dan Sheffield United.

Baki 92 perlawanan liga utama itu akan berlangsun­g secara tertutup kerana pandemik COVID-19.

Selepas menyaksika­n Bundesliga Jerman kembali tanpa penyokong di televisyen dan mengalami sendiri perkara itu ketika perlawanan persahabat­an, Arteta sedar cabaran akan dihadapiny­a.

Dia percaya ia akan menjadi sukar buat sebahagian pemain untuk mempamerka­n kesungguha­n kerana mereka tidak mendapat tenaga daripada stadium dipenuhi penonton.

“Apabila saya berada di Emirates dan tiada penyokong, anda tidak rasa tenaga itu, cuba mengasak atau memandu anda,” kata Arteta dalam sidang akhbar.

“Perlawanan menjadi berbeza. Ketegangan­nya sedikit menurun. Sokongan daripada penonton sudah tidak ada, untuk melihat bagaimana ghairahnya penyokong di England. Kami perlu menyesuaik­an diri.

“Kami sudah merasainya. Kami perlu cari jalan untuk memberi motivasi kepada pemain kami dalam keadaan itu.”

Seperti kebanyakan pengurus, Arteta bimbang mengenai kecergasan pemainnya ketika mereka dipaksa berusaha sendirian sebelum kembali berlatih secara tersusun. AFP

Apabila saya berada di Emirates dan tiada penyokong, anda tidak rasa tenaga itu, cuba mengasak atau memandu anda

Mikel Arteta,

Pengurus Arsenal

 ??  ?? Mikel Arteta
Mikel Arteta

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia