Berita Harian

Maslini bakar semangat Omar

-

Kuala Lumpur: ‘Kalau tak mahu masuk padang bola, Omar masuk kelas balet je.’

Kata-kata ‘keramat’ daripada ibu, Maslini Abdul Wahab disifatkan menjadi punca ‘ubi muda’ yang ketika ini berkelana di Red Star Belgrade, Omar Raiyan Kama Azlan menceburka­n diri dalam bola sepak sejak berusia lima tahun.

Pemain tengah itu berkata, pada mulanya dia hanya bermain bola sepak secara ‘suka-suka’ di dalam rumah namun kerana selalu memecahkan barang, ayahnya, Kama Azlan Muhammad membuat keputusan menghantar­nya ke sebuah akademi di Abu Dhabi.

“Selepas melihat saya selalu memecahkan barang dalam rumah, ibu bapa menghantar saya ke akademi tetapi apabila saya bersama kanak kanak lain, saya rasa malu dan tidak rasa mahu bermain bola sepak.

“Kemudian ibu saya berkata kalau saya tidak mahu bola sepak, dia akan masukkan saya ke dalam kelas tarian balet dan begitulah bagaimana saya mula bermain bola sepak,” katanya menerusi temu bual bersama sebuah portal bola sepak tempatan.

Mengulas lanjut perancanga­n masa depannya, bekas pemain akademi Manchester City di Abu Dhabi itu mengakui bercita-cita untuk beraksi di liga utama Eropah dan berhasrat untuk meletakkan nama Malaysia dalam peta bola sepak dunia.

“Saya gembira untuk terus kekal di sini. Seperti impian pemain lain, saya mahu beraksi di EPL dan mendapat peluang bermain di Liga Juara-juara serta mewakili Malaysia.

“Saya mahu membanggak­an Malaysia dengan menjadi pemain pertama dari Malaysia beraksi di EPL atau di mana-mana liga. Saya mahukan gelaran itu dan membuat Malaysia bangga,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia