Berita Harian

Tiada had pelanggan duduk semeja selagi jaga jarak

-

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak menetapkan had khusus untuk jumlah pelanggan yang dibenarkan duduk di meja makan restoran, ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa.

Menteri Kanan (Keselamata­n), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebaliknya berkata penentuan jumlah pelanggan yang dibenarkan duduk di setiap meja adalah berdasarka­n saiznya.

“Selagi ada penjarakan sosial, meja panjang yang boleh muat 10 orang, kita benarkan untuk 10 pelanggan duduk di situ.

“Cuma isu yang nak ditekankan di sini ialah mengenai penjarakan sosial, selagi aspek ini dipatuhi, kerajaan tiada halangan mengenai jumlah pelanggan di meja makan.

“Kalah boleh muat lapan orang, lapan orang boleh duduk, kalau boleh 10 orang, 10 orang dibenarkan duduk,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKPP, di Putrajaya, semalam.

Dalam perkembang­an lain, Ismail berkata mesyuarat khas menteri mengenai PKPP belum memutuskan mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan kebenaran untuk panggung wayang kembali beroperasi di negara ini.

Bagaimanap­un, katanya, khidmat cuci kereta dan kedai aksesori dibenarkan kembali beroperasi dengan syarat mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Pusat selenggara kenderaan, kedai aksesori dan cuci kereta semua boleh kembali beroperasi.

“Perincian SOP mengenai operasi mereka boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamata­n Negara (MKN),” katanya.

Pada masa sama, katanya, kanak-kanak tidak dilarang untuk beriadah di taman permainan dan meluangkan masa di pusat beli-belah bersama keluarga ketika PKPP.

Katanya, taman permainan dan pelbagai tempat guna awam mula dibuka sejak kerajaan melaksanak­an PKPP pada 10 Jun lalu.

Bagaimanap­un, katanya, ibu bapa harus sentiasa berwaspada dan menjaga keselamata­n kanak-kanak yang sehingga kini dikategori­kan sebagai golongan berisiko mendapat jangkitan COVID-19.

“Sekarang ini (kanak-kanak) sudah boleh (keluar), tiada larangan untuk mereka beriadah di taman permainan yang sudah dibuka.

“Cuma peringatan yang ingin ditegaskan di sini ialah jangan berhimpun beramai-ramai di kawasan riadah sebab kita perlu mengamalka­n penjarakan sosial.

“Begitu juga dengan pusat beli-belah, tiada tegahan yang tidak membenarka­n kanak-kanak untuk pergi beli permainan bersama ibu bapa di pusat beli-belah,” katanya.

Beliau mengulas mengenai isu tekanan mental dalam kalangan kanak-kanak selepas mereka terpaksa ‘berkurung’ selama tiga bulan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

Antara petanda tekanan mental yang dikatakan mula meruncing dan kelihatan dalam kalangan kanak-kanak ialah kemurungan, kurang selera makan dan cenderung bersendiri­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia