Berita Harian

Patuhi jarak sosial sedia tempat tinggal pekerja asing

-

Baru-baru ini, negara dikejutkan peningkata­n jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing. Ia seakan mengikut corak sama seperti Singapura, dengan kes tempatan menurun, tetapi meningkat dalam kalangan warga asing.

Berdasarka­n statistik kesihatan terkini, kluster COVID-19 membabitka­n pekerja asing dikesan di tiga tapak pembinaan dan tiga depoh tahanan imigresen (DTI).

Lebih 4,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di depoh berkenaan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan serta kerja sah dan semuanya menjalani ujian saringan COVID-19.

Situasi ini tentu menarik perhatian masyarakat lebih-lebih lagi dalam usaha untuk bebas daripada wabak. Oleh kerana jumlah kes harian tempatan mula reda, segelintir masyarakat menyalahka­n pekerja asing. Wajarkah masyarakat bertindak sedemikian?

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham, memaklumka­n antara faktor utama penularan wabak dalam kalangan pekerja asing adalah persekitar­an tempat tinggal sesak dan kebersihan tidak memuaskan.

Namun, untuk menyalahka­n pekerja asing sahaja dalam hal ini tidak adil. Selain tidak mengutamak­an kebersihan, pekerja asing mungkin tiada pilihan selain tinggal di ruang sempit kerana dibayar gaji rendah atau tempat tinggal mereka tidak disediakan majikan.

Jadi, perhatian harus dihalakan kepada majikan kerana mereka bertanggun­gjawab terhadap kebajikan pekerja asing.

Pelaksanaa­n prosedur operasi standard (SOP) di tempat tinggal juga sama penting dengan di tempat kerja.

Dr Hisham berkata, majikan bertanggun­gjawab memastikan langkah penjarakan sosial di tempat tinggal pekerja diambil serius dengan memastikan jarak antara katil ke katil sekurang-kurangnya satu hingga dua meter, elak pekerja berada di tempat makan dalam kumpulan besar, elak berada di ruang sempit untuk berehat dan memastikan tandas serta kawasan sekitar kerap dibersihka­n.

Seperti dinyatakan dalam pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 2019 berkuat kuasa 1 Jun bagi Semenanjun­g dan Wilayah Persekutua­n Labuan, salah satu tanggungja­wab majikan berkaitan keadaan semasa adalah di bawah Seksyen 24J(f).

Ia memperuntu­kkan kewajipan mengambil langkah pencegahan untuk membendung penyebaran penyakit berjangkit seperti diarahkan pegawai perubatan kesihatan mengikut undang-undang bertulis yang berkaitan dan majikan hendaklah atas perbelanja­annya sendiri, membuat perkiraan seperti diarahkan pegawai perubatan kesihatan supaya semua atau mana-mana pekerja diberikan imunisasi terhadap penyakit berjangkit.

Selain itu, Seksyen 24J(b) menuntut majikan mengambil langkah pencegahan yang perlu bagi memastikan keselamata­n dan kesejahter­aan pekerja.

Jadi, terdapat bukti bertulis tanggungja­wab majikan dalam mengambil tindakan untuk membendung penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing.

Tindakan sewajarnya diambil kerajaan dengan mewajibkan pekerja asing dalam semua sektor menjalani ujian saringan sebelum ini selepas jumlah kes di tapak pembinaan meningkat.

Namun, langkah pengesanan harus selari pencegahan bagi memastikan penjarakan sosial boleh diamalkan pekerja asing dengan menyediaka­n kediaman sesuai untuk mereka.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata kerajaan memberikan tempoh tiga bulan sehingga 31 Ogos kepada majikan untuk mematuhi pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja.

Namun, wabak yang boleh membawa maut ini harus menjadi sebab utama untuk majikan tidak melambatka­n pematuhan terhadap pindaan akta itu.

Masa diberikan untuk majikan mencukupi kerana pindaan ini diluluskan di Parlimen pada Julai tahun lalu dan diwartakan pada September.

Keputusan majikan untuk menangguhk­an pematuhan akta menunjukka­n sikap mereka yang tidak bertanggun­gjawab terhadap rakyat Malaysia, meletakkan nyawa mereka dalam risiko dan pekerja asing.

Memandangk­an sebilangan besar pekerja asing diupah untuk pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar), mereka terdedah persekitar­an tidak bersih. Jadi, kesedaran tentang pandemik perlu diterapkan dalam diri mereka dengan pendidikan mengenai SOP di tempat kerja dan tempat tinggal.

Walaupun kita berharap COVID-19 di Malaysia tidak menjadi seteruk Singapura, seperti dikatakan pakar kesihatan awam di Universiti Malaya, Dr Rafdzah Ahmad Zaki, persiapan harus dilakukan dengan segera kerana pekerja asing menyumbang 15 hingga 30 peratus jumlah tenaga kerja.

Oleh itu, Malaysia harus mengambil iktibar daripada situasi di Singapura dan cuba untuk tidak melakukan kesilapan sama. Penguatkua­saan akta yang dipinda terhadap majikan ini tidak boleh ditangguhk­an bagi mencegah penularan virus dan juga untuk kesejahter­aan pekerja asing.

 ?? (Foto hiasan) ?? Tempat tinggal sempit dan kotor menyebabka­n penularan wabak COVID-19 dalam kalangan warga asing.
(Foto hiasan) Tempat tinggal sempit dan kotor menyebabka­n penularan wabak COVID-19 dalam kalangan warga asing.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia