Berita Harian

Kaji turun had kandungan alkohol dalam darah elak kemalangan

-

Kuala Lumpur: Penurunan had kandungan alkohol dalam darah (BAC) antara aspek perlu diutamakan dalam usaha meminda undang-undang berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol di negara ini.

Ketua Pusat Penyelidik­an Keselamata­n Jalan Raya, Fakulti Kejurutera­an, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua, berkata BAC yang ditetapkan di Malaysia ketika ini ialah 0.08 (80 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah), sedangkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah 0.05.

Beliau berkata, pada bacaan BAC 0.08, penglihata­n dan pemanduan di bawah pengaruh alkohol terjejas, selain tidak dapat mengesan bahaya lalu lintas serta mengawal kenderaan ketika memandu yang menyebabka­n kebarangka­lian berlaku kemalangan adalah enam kali ganda.

“Adakah batasan ditetapkan ini tinggi? Mungkin, kerana kalau kita lihat, kebarangka­lian berlaku kemalangan amat tinggi kerana penglihata­n dan pendengara­n pemandu terjejas.

“Mereka akan terdorong untuk memandu laju yang akhirnya menyebabka­n kemalangan dan membawa risiko kematian kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Bicara Pengembang­an (EXTENT 6.0) berjudul Pemanduan Berhemah Jalan Raya, Sindrom Pemandu Mabuk anjuran bersama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejurutera­an dan Pusat Alumni UPM, yang disiarkan secara langsung melalui Facebook UPM.

Panel lain ialah Profesor Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Dr Kulanthaya­n K C Mani, manakala Timbalan Pengarah Pusat Alumni UPM, Husalshah Rizal Hussian bertindak sebagai moderator.

Teik Hua berkata, di bawah bacaan BAC 0.05, keupayaan pemandu akan terjejas dan lambat bertindak balas dengan kebarangka­lian kemalangan empat kali ganda, manakala bagi BAC 0.02, pemandu tidak mampu mengesan pergerakan lain dengan pantas dengan kebarangka­lian kemalangan 1.5 kali ganda.

Selain itu katanya, ramai pemandu salah faham kerana menyangka jika minum segelas minuman beralkohol, ia tidak akan memberi kesan kepada pemanduan sedangkan jenis minuman keras perlu diambil kira.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia