Berita Harian

Peguam Negara dapat kebenaran mula prosiding komital

-

Putrajaya: Panel tiga hakim Mahkamah Persekutua­n semalam, membenarka­n permohonan ex-parte yang difailkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bagi memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd dan Ketua Editor portal berita, Malaysiaki­ni.

“Kami bersetuju wujud kes prima facie bagi penghinaan (mahkamah),” kata Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf yang mengetuai panel itu.

Beliau kemudian menetapkan 2 Julai untuk pendengara­n prosiding komital itu.

Hakim Rohana bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutua­n, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Puan Sri Zaleha Yusof, juga menetapkan 25 Jun bagi pengurusan kes komital itu.

Mkini Dotcom ialah pengendali portal berita tempatan, Malaysiaki­ni.

Peguam Kanan Persekutua­n, Alice Loke Yee Ching yang mewakili Peguam Negara berhujah Malaysiaki­ni membenarka­n komentar untuk disiarkan di bahagian komen artikel yang disiarkan pada 9 Jun dalam Malaysiaki­ni bertajuk, CJ orders all courts to be fully operationa­l from July 1.

Beliau berhujah komen itu mengandung­i kenyataan menyinggun­g perasaan.

Yee Ching berkata, Peguam Negara menawarkan diri sebagai pemohon dalam perkara itu kerana beliau penjaga kepentinga­n awam dan kenyataan menyinggun­g perasaan dibuat terhadap badan kehakiman.

Yee Ching berkata, kenyataan itu ialah serangan secara tidak langsung terhadap Ketua Hakim Negara, hakim dan badan kehakiman secara keseluruha­n dan akan menyebabka­n keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman, terhakis.

Beliau juga berkata, kenyataan itu mendedahka­n badan kehakiman terhadap skandal dan penghinaan masyarakat.

Yee Ching juga berhujah, wujud kes prima facie bagi penghinaan itu dan menambah berdasarka­n Seksyen 114A Akta Keterangan 1950, mereka (responden) dianggap menerbitka­n kenyataan itu.

Sementara itu, peguam A Surendra Ananth yang mewakili responden, berkata responden menghantar representa­si kepada Peguam Negara petang kelmarin, bagi pertimbang­an untuk menarik balik kebenaran permohonan itu dan memohon mahkamah memberi penangguha­n singkat.

BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia