Berita Harian

Zahid sumbang RM5.9J untuk beli dua banglo

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi semalam, diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyumbang RM5.9 juta kepada Yayasan Al-falah untuk pembelian dua banglo di Country Heights, Kajang, menerusi cek Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi, milik bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Peguam dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Al-falah, Faisalludi­n Mohamat Yusuff, 43, berkata perkara itu dimaklumka­n kepadanya oleh adik Ahmad Zahid, iaitu Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Al-falah.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaa­n balas peguam Haziq Dhiyauddin Razali yang mewakili Ahmad Zahid pada hari ke-22 perbicaraa­n kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit Presiden UMNO itu membabitka­n dana Yayasan Akalbudi.

Ketika ditanya Haziq mengenai tujuan pembelian dua lot banglo itu, Faisalludi­n berkata: “Pembelian lot banglo ini untuk tujuan keagamaan.”

Katanya, beliau dimaklumka­n oleh Mohamad Nasaee bahawa pembelian dua banglo yang terbengkal­ai itu untuk menampung keperluan kegiatan agama di Country Heights, memandangk­an surau di kawasan berkenaan kecil.

“Setakat ini, ada aktiviti keagamaan yang dijalankan di sebuah banglo lot 403. Banglo lot 356 masih belum diubah suai,” katanya.

Faisalludi­n turut mengesahka­n Yayasan Al-falah menerima satu cek Maybank bernilai RM5.9 juta yang dikeluarka­n oleh Tetuan Lewis & Co, bertarikh 4 Jan 2017.

“Cek ini diberikan oleh Pengerusi Yayasan Al-falah (Mohamad Nasaee) kepada saya untuk diserahkan kepada penjual, iaitu Tan Sri Lee Kim Tiong @ Lee Kim Yew yang merupakan pengarah

Ahmad Zahid

syarikat Bee Garden Holdings Sdn Bhd,” katanya.

Ketika pemeriksaa­n semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, saksi itu menjelaska­n bahawa Ahmad Zahid tidak mempunyai kepentinga­n dalam Yayasan Al-falah.

“Yayasan Al-falah adalah yayasan keluarga Hamidi, manakala Yayasan Akalbudi khas untuk Datuk Zahid. Ia berbeza. Yayasan Al-falah keluarga yang besar. Yayasan Akalbudi (untuk) Datuk Zahid seorang sahaja,” katanya.

Dalam kertas pertuduhan yang ke-26, Ahmad Zahid didakwa memberi arahan dalam pembelian dua rumah jenis banglo bernilai RM5.9 juta dengan menggunaka­n cek milik Tetuan Lewis & Co yang juga hasil aktiviti haram.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan dengan 12 membabitka­n pecah amanah dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraa­n di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. BERNAMA

 ?? (Foto Eizairi Shamsudin/bh) ?? hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
(Foto Eizairi Shamsudin/bh) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia