Berita Harian

Wanita maut ditikam suami depan dua anak

Jiran terkejut mangsa terbaring depan rumah berlumuran darah

- Oleh Nor Amalina Alias bhnews@bh.com.my

Pasir Puteh: Seorang wanita Rohingya maut ditikam suami dalam kejadian di Kampung Gong Garu, Gaal, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa, Noor Begum Dil Muhammad, 28, maut di tempat kejadian selepas ditikam suaminya berusia 32 tahun yang juga warga Myanmar menggunaka­n pisau pemotong sayur.

Lebih menyedihka­n kejadian ngeri itu dilakukan di hadapan dua anak mereka yang berusia tiga dan empat tahun.

Jiran mereka, Maimun Chik, 47 berkata, ketika kejadian dia sedang membasuh pinggan di dapur rumahnya yang terletak bersebelah­an rumah pasangan itu sebelum terdengar bunyi bising.

“Saya terkejut apabila melihat mangsa terbaring di depan rumah saya dengan berlumuran darah dan anak yang menangis di sisi mayat ibunya.

“Saya memang kerap dengar mereka bergaduh, namun tak sangka sehingga membunuh,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Maimun berkata, pasangan itu bersama dua anak lelaki mereka baru tinggal di situ kira-kira dua bulan selepas berpindah dari Jerteh, Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superinten­dan Mohd Azmir Damiri, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 10.30 pagi.

Katanya, panggilan diterima mendakwa terdapat pasangan suami isteri yang juga etnik Rohingya itu bertengkar dan apabila tiba di tempat kejadian, didapati seorang wanita sudah meninggal dunia dipercayai ditikam suaminya sendiri.

“Hasil pemeriksaa­n awal, terdapat dua tikaman di bahagian badan dan satu torehan di badan dan lengan kanan.

“Senjata yang digunakan dipercayai pisau pemotong sayur kegunaan keluarga dari rumah mereka dan ditemui di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan enam jam selepas kejadian kira-kira jam 3 petang semalam di sekitar Kota Bharu.

Katanya, suspek akan ditahan reman pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Dengan penahanan suspek, kita anggap kes ini sudah selesai tetapi masih menunggu keputusan bedah siasat,” katanya.

Saya terkejut apabila melihat mangsa terbaring di depan rumah saya berlumuran darah dan anak yang menangis di sisi mayat ibunya.

Maimun Chik, Jiran

 ?? ( Foto Nor Amalina Alias/bh) ?? Anggota polis memeriksa lokasi kejadian seorang wanita Rohingya maut ditikam suaminya di Gaal, Pasir Puteh, Kelantan.
( Foto Nor Amalina Alias/bh) Anggota polis memeriksa lokasi kejadian seorang wanita Rohingya maut ditikam suaminya di Gaal, Pasir Puteh, Kelantan.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia