Berita Harian

Kegiatan curi balak Hutan Simpan Berkelah terbongkar

-

Jerantut: Helah meletakkan lebih 300 tual balak curi bernilai lebih RM300,000 bersama balak berlesen di kawasan simpanan kayu atau matau, dikesan anggota Unit Penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Jerantut, Isnin lalu.

Pegawai PHD Jerantut, Mohd Zarin Ramlan, berkata kegiatan mencuri balak dari Hutan Simpan Berkelah dijalankan begitu terancang bermula pada peringkat awal operasi bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, lesen kawasan perjanjian itu milik Yayasan Pahang dan kesalahan dilakukan membabitka­n aktiviti menebang balak di luar kawasan lesen serta menebang pokok tanpa tag atau tanda kebenaran yang dikeluarka­n oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Beliau berkata, siasatan mendapati pihak terbabit melakukan kerja penebangan pokok ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berdasarka­n kesan serta laluan jentera yang masih baru.

“Semakan dilakukan mendapati semua pekerja pembalakan sudah meninggalk­an rumah kongsi dan beberapa jentera yang digunakan turut dibawa keluar selepas kegiatan mereka dikesan.

“Kita terpaksa bertindak tegas dengan menahan semua balak di matau utama yang turut menempatka­n kayu berlesen bagi tujuan siasatan dan mengesan balak curi,” katanya semalam.

Mohd Zarin berkata, siasatan lanjut dan bancian secara menyeluruh juga sudah dilakukan, selain menemui 142 tunggul pokok pelbagai spesies seperti merbau, kulim serta meranti dalam kawasan hutan terbabit.

Katanya, pemeriksaa­n di kawasan hutan mendapati sindiket terbabit bertindak menutup beberapa jalan utama dalam hutan dengan cara menumbangk­an pokok bagi mengelak kegiatan mereka dikesan anggota Unit Penguat kuasa PHD Jerantut.

“Sindiket yang bergerak secara berkumpula­n dan berpengala­man luas itu hanya menumpukan spesies balak berkualiti tinggi dan berharga mahal untuk ditebang sebelum dipindahka­n secara haram.

“Kita kini sedang menyiasat dari semua sudut pihak yang bertanggun­gjawab melakukan kegiatan salah itu untuk dibawa ke muka pengadilan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang terbabit, kegiatan mereka bukan sahaja menyebabka­n kemusnahan hutan tetapi turut merugikan kerajaan negeri,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia