Berita Harian

Pegawai kanan polis, tentera antara 18 ditahan terbabit sindiket seludup PATI

Suspek berkomplot dengan sindiket seludup PATI sejak 2017

- Oleh Mohamed Farid Noh farid_noh@bh.com.my

Polis menahan 18 anggota penguat kuasa, termasuk seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludup­an pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini, sejak 2017.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata penahanan 18 anggota penguat kuasa itu susulan tangkapan 40 suspek sindiket penyeludup­an PATI dalam operasi pada 4 Jun lalu.

Hasil maklumat yang diperoleh, katanya, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah negeri melancarka­n operasi pada Isnin hingga awal pagi semalam dan berjaya menahan 18 anggota penguat kuasa, termasuk seorang pegawai kanan polis negeri ini.

“Semua suspek terdiri daripada pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superinten­dan yang bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini, seorang anggota pangkat rendah Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi, dua anggota pangkat rendah bertugas di Bukit Aman dan sembilan anggota pangkat rendah bertugas di IPD Kota Tinggi.

“Polis turut menahan dua pegawai dan tiga anggota ATM lain-lain pangkat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Ayob Khan berkata, siasatan awal mendapati 18 penguat kuasa itu bersekongk­ol dengan sindiket penyeludup­an PATI dalam menyalurka­n maklumat, termasuk operasi yang dijalankan pihak berkuasa negara ini, sekali gus menjadi dalang kebocoran maklumat dalaman.

“Mereka (suspek) dipercayai menerima habuan sangat lumayan sehingga RM10,000 setiap transaksi bagi penyeludup­an PATI, malah turut dikesan terbabit dalam penyeludup­an dadah.

“Siasatan juga mendapati, bayaran dibuat dalam bentuk tunai bagi menghilang­kan jejak wang jika ia dilakukan menerusi transaksi perbankan. Semua suspek berusia 24 hingga 41 tahun yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 130V hingga Seksyen 130ZB BAB VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamata­n (Langkah-langkah Khas) 2012 SOSMA,” katanya.

Katanya, pihaknya kini sedang menumpukan terhadap sindiket penyeludup­an yang mendalangi kegiatan anggota penguat kuasa yang ditahan, selain menyasar operasi di kawasan Pantai Barat Johor pula.

“Kita percaya ada beberapa sindiket penyeludup­an yang menjadi dalang kepada pengkhiana­t ini dan mereka bukan terbabit dalam sindiket yang sama,” katanya. Sementara itu, Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang berkata, pihaknya tidak akan berkomprom­i dengan mana-mana pegawai dan anggotanya yang terbabit kegiatan jenayah termasuk sindiket penyeludup­an PATI.

“Jadi, ATM menyerahka­n sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjut ke atas mereka terbabit secara langsung atau tidak langsung, dengan sindiket penyeludup­an PATI.

“ATM juga mengesahka­n dua pegawai dan tiga anggota ATM, disyaki terbabit menyeludup PATI pada 4 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, penahanan anggota ATM itu menunjukka­n keberkesan­an Op Benteng di bawah pengawasan National Task Force (NTF).

 ?? (Foto BERNAMA ?? Ayob Khan menunjukka­n rangkaian sindiket penyeludup­an pendatang asing pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, semalam.
(Foto BERNAMA Ayob Khan menunjukka­n rangkaian sindiket penyeludup­an pendatang asing pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia