Berita Harian

782 penghuni, kakitangan depoh tahanan positif

-

Putrajaya: Seramai 13,149 penghuni dan kakitangan di depoh tahanan sudah disaring dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 782 kes dikesan positif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada kes yang dikesan positif itu, 775 individu bukan dalam kalangan warganegar­a dan tujuh kes pula adalah warganegar­a Malaysia.

Katanya, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatat kes tertinggi, iaitu 648 bukan warganegar­a dikesan positif, manakala tiga lagi kes dalam kalangan warganegar­a Malaysia.

“Ia diikuti Selangor dengan 125 kes positif dalam kalangan bukan warganegar­a dan satu kes rakyat tempatan.

“Di Sabah, tiga kes positif COVID-19 dikesan, iaitu dua rakyat tempatan dan satu kes bukan warganegar­a manakala dua kes dikesan di Melaka, masing-masing satu kes rakyat tempatan dan warga asing,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. Beliau menegaskan, 803 individu masih lagi menunggu keputusan saringan COVID-19, iaitu 611 orang di Selangor, Pulau Pinang (106), Sabah (77) dan masing-masing sembilan kes di Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Dr Noor Hisham berkata, depoh tahanan kini dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi bagi penularan jangkitan COVID-19 selepas dikesan dalam kalangan Orang Kena Tuduh (OKT).

“Kerajaan mengambil pendekatan tertumpu bagi kumpulan berisiko, terutama yang berada di lokasi dikenal pasti sebagai berisiko tinggi bagi penularan jangkitan COVID-19.

“Beberapa fokus turut diambil dalam saringan ini antaranya semua OKT baharu di depoh tahanan perlu menjalani persampela­n manakala OKT yang akan dipindahka­n perlu diambil sampel terlebih dahulu.

“OKT yang akan dihantar pulang ke negara asal perlu diambil sampel terlebih dahulu, manakala semua kakitangan di pusat tahanan juga perlu diambil sampel.

“Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri akan membuat persampela­n secara rawak sebagai penilaian risiko,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia