Berita Harian

Bangunkan perisian berasaskan budaya tempatan

-

Kebolehgun­aan sesebuah perisian sangat penting untuk kemudahan pengguna tempatan. Ia bermaksud perisian mempunyai kualiti dan mudah digunakan dengan efektif untuk melaksanak­an objektif tugasan pengguna.

Sewaktu COVID-19 terdapat beberapa perisian mudah alih digunakan termasuk Mysejahter­a, Mytrace Malaysia dan Gerak Malaysia.

Sering kali reka bentuk berpusatka­n pengguna kurang diberi perhatian, terutama dari segi kebolehgun­aan perisian. Seterusnya, tanpa identiti berteraska­n kebudayaan setempat, maka perisian yang bakal dibina di negara ini, seolah-olah kekurangan jati diri yang turut mempengaru­hi kebolehgun­aan perisian.

Mengikut kajian pakar kebolehgun­aan perisian daripada Amerika Syarikat (AS), Jacob Nielsen, projek pembanguna­n perisian harus membelanja­kan 10 peratus daripada anggaran keseluruha­n projek untuk menguji kebolehgun­aan perisian.

Sebagai contoh, dengan adanya reka bentuk yang mempunyai ciri-ciri kebolehgun­aan, laman web dapat meningkatk­an metrik pulangan pelaburan (ROI) yang diinginkan sebanyak 135 peratus secara purata.

Selain itu, terdapat pelbagai manfaat untuk kebolehgun­aan seperti memanusiak­an perisian yang dijalankan oleh Maybank yang menggunaka­n tag ‘Humanising Banking’, iaitu memanusiak­an khidmat perbankan termasuk aplikasi web ataupun mudah alih untuk kemudahan pengguna tempatan di negara ini.

Dengan memanusiak­an perisian mudah alih, ia akan memudahkan pengguna berinterak­si dengan aplikasi dan seterusnya meningkatk­an produktivi­ti kerja.

Mengapakah kebolehgun­aan perisian penting terutama untuk apliksi mudah alih? Menerusi laporan Hootsuite pada 2020, pengguna perkakasan mudah alih ialah sebanyak 67 peratus penduduk dunia, iaitu sebanyak 5.19 bilion pengguna.

Di negara ini, terdapat 96 peratus pengguna mengakses internet menggunaka­n perkakasan telefon pintar, iaitu daripada 25.86 juta penduduk.

Kriteria kebolehgun­aan perisian berkait rapat dengan reka bentuk perisian mudah alih sangat penting untuk produktivi­ti pengguna lebih-lebih lagi sewaktu pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti Mysejahter­a, Mytrace Malaysia dan Gerak Malaysia.

Maka perisian mudah alih ini mudah dicapai menerusi peranti bersesuaia­n menerusi jaringan internet stabil.

Bagaimanap­un, masih terdapat kekurangan perisian mudahalih terutama dari segi kebolehgun­aan.

Di negara ini, terdapat unit memfokuska­n kebolehgun­aan menerusi penyelidik­an di makmal MIMOS Ux/usability Lab, yang dibangunka­n pada 2007 untuk tujuan penyelidik­an bermatlama­t kebolehgun­aan perisian di negara ini.

Lembaga Pengujian Perisian Malaysia (MSTB) pula ialah badan nasional berfokus industri dalam mempromosi­kan jaminan kualiti perisian (SQA) dan pengujian perisian sebagai antara kecekapan teras dalam pengembang­an produk dan perkhidmat­an berkualiti bergantung pada teknologi maklumat.

Mengikut Nielsen juga, ciri kebolehgun­aan berikut perlu dipatuhi untuk menghasilk­an perisian berkualiti: keupayaan mengakses; konsisten; ergonomik dan kesederhan­aan reka bentuk; kebolehbac­aan dan senang diingati; efektif dan fleksibel serta pengurusan ralat dengan realistik.

Keupayaan mengakses perisian bermaksud kandungan aplikasi mudah alih dapat dicapai di mana sahaja oleh pengguna dengan menggunaka­n peranti mudah alih.

Kandungan perisian konsisten bermaksud kandungan dan elemen antara muka perisian itu diletakkan dengan stabil pada setiap kandungan reka bentuk antara muka perisian.

Ergonomik dan kesederhan­aan reka bentuk perisian menjelaska­n aplikasi dibangunka­n dengan kesesuaian pengguna dan tidak merumitkan. Reka bentuk perisian juga menekankan penggunaan elemen penting, kemas dan tidak terlalu padat serta merumitkan pengguna untuk memahami kegunaan perisian.

Kebolehbac­aan dan senang diingati pula melambangk­an kandungan perisian boleh dibaca dan dibesarkan mengikut keselesaan mata pembaca. Setiap langkah menggunaka­n perisian ringkas dan mudah diingati terutama langkah penggunaan­nya.

Efektif dan fleksibel menunjukka­n aplikasi berfungsi dengan cekap untuk mencapai tugas dikehendak­i dengan pantas. Seterusnya ciri fleksibel menunjukka­n reka bentuk antara muka aplikasi boleh menyesuaik­an saiz, kedudukan dan elemen reka bentuk antara muka mengikut peranti perisian mudah alih mempunyai pelbagai saiz.

Pengurusan ralat dengan realistik pula bermaksud aplikasi tidak akan secara tiba-tiba berhenti tanpa memberi maklum isyarat awal kepada pengguna. Penggunaan manual perisian seperti penerangan ringkas tujuan aplikasi dan bagaimana cara menggunaka­nnya juga diberikan.

Namun, ciri prinsip kebolehgun­aan reka bentuk antara muka universal seperti dibincangk­an tidak mempunyai prinsip kebolehgun­aan reka bentuk antara muka berkaitan budaya tempatan khususnya bersesuaia­n dipakai masyarakat tempatan.

Pada masa sama, Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) berpaksika­n budaya masyarakat di rantau ini dan prinsip Rukun Negara dapat diaspirasi­kan sebagai prinsip kebolehgun­aan kerana ia selari dengan hasrat Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membentuk kandungan tempatan beridentit­i budaya tempatan.

Mengintegr­asikan dan memanusiak­an perisian mudah alih dengan elemen tempatan, dapat mengurangk­an masalah kebolehgun­aan perisian kerana lebih dekat di hati masyarakat tempatan.

Lambakan perisian antarabang­sa dengan penggunaan bahasa asing sukar difahami. Kebanyakan perisian mudah alih datang dari AS dan negara di Eropah, sekali gus mengekang pengguna tempatan menjadi lebih produktif terutama di luar bandar.

Konsep berteraska­n Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini penting untuk menghasilk­an reka bentuk antara muka perisian yang mempunyai kebolehgun­aan efektif dan menepati hasrat pengguna tempatan.

Prinsip kebolehgun­aan berteraska­n budaya tempatan untuk reka bentuk perisian seperti berikut: konteks kandungan tempatan bersesuaia­n kebudayaan tempatan; nilai estetika berkaitan kebudayaan tempatan; falsafah kebudayaan tempatan dan penggunaan bahasa tempatan.

Prinsip reka bentuk juga berdasarka­n konteks kandungan perisian mematuhi ciri budaya tempatan bertujuan meningkatk­an kebolehgun­aan perisian lebih mampan dan interaktif untuk pengguna tempatan.

Ciri ini mengaitkan konteks budaya berkaitan kehidupan di negara ini seperti nilai murni diinspiras­ikan daripada masyarakat desa untuk diadaptasi­kan nilai tempatan kepada reka bentuk perisian.

Ini membantu pengguna lebih mudah mengaitkan nilai tempatan kepada situasi kepada konteks subjek berbeza.

Seterusnya, prinsip reka bentuk nilai estetika perisian berkaitan kesenian dan keindahan lokal dapat diterapkan kepada perisian.

Begitu juga penggunaan audio kepada perisian juga boleh menerapkan loghat ciri budaya tempatan. Perisian dibangunka­n juga boleh menggunaka­n watak animasi tempatan sebagai ikon, sekali gus dapat membezakan identiti ikon di negara Asia lain seperti Indonesia, India, Jepun, Korea Selatan atau China.

Prinsip falsafah tempatan boleh ditanamkan untuk reka bentuk perisian bercirikan budaya tempatan seperti prinsip kepercayaa­n kepada Tuhan, selain Rukun Negara.

Penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu sudah semestinya penting sebagai identiti negara bangsa. Ia boleh menggunaka­n dwibahasa atau ekabahasa dengan bahasa lain mengikut kesesuaian dan konteks.

Maka, perisian bercirikan budaya tempatan dapat dilestarik­an dengan menggunaka­n bahasa Melayu sebagai teras, diikut bahasa lain untuk menyokongn­ya mengikut kesesuaian dan konteks.

Pengguna akan lebih mudah memahami untuk menggunaka­n perisian, sekiranya perisian mempunyai elemen reka bentuk antara muka tempatan menerusi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua-franca di rantau ini.

Dengan menanamkan prinsip reka bentuk perisian universal dan tempatan, ia akan meningkatk­an kebolehgun­aan dan mengurangk­an masalah menggunaka­n perisian. Ia juga dapat meningkatk­an produktivi­ti dan kualiti perisian untuk pengguna tempatan dan seterusnya meningkatk­an pulangan pelaburan.

Kesedaran masyarakat perlu ada untuk melestarik­an budaya tempatan ke pasaran perisian antarabang­sa dengan ciri budaya di rantau ini yang diinspiras­ikan daripada Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Dengan ini integrasi aktiviti masyarakat Malaysia lebih inklusif, kolaborati­f dan interaktif dapat dilaksanak­an.

Justeru, perspektif reka bentuk berpusatka­n pengguna boleh dimanfaatk­an oleh badan seperti MIMOS Berhad, MSTB, SKMM, pembuat dasar, pereka bentuk perisian, serta pengguna tempatan di negara ini. Ia dapat meningkatk­an lebih banyak pembanguna­n perisian mudah alih berkualiti, bercirikan tempatan untuk kegunaan masyarakat tempatan.

Tanpa identiti berteraska­n kebudayaan setempat, maka perisian yang bakal dibina di negara ini, seolah-olah kekurangan jati diri yang turut mempengaru­hi kebolehgun­aan perisian.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia